Industri ikan hiasan Kelantan jana pengeluaran RM8.05 juta
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Media Exco
BACHOK, 4 Jun — Industri ikan hiasan di Kelantan terus menunjukkan perkembangan positif apabila menjana nilai pengeluaran sebanyak RM8.05 juta setakat tahun ini.
Pencapaian tersebut membuka peluang luas kepada golongan belia untuk menceburi sektor berpotensi tinggi yang semakin mendapat tempat di pasaran domestik dan antarabangsa.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, industri tersebut merekodkan pengeluaran lebih 468,000 ekor ikan hiasan, membuktikan aktiviti dagang berskala besar yang berkembang menjadi antara penyumbang penting kepada ekonomi negeri.
“Angka ini membuktikan bahawa industri ikan hiasan bukan lagi industri kecil-kecilan, sebaliknya telah menjadi antara penyumbang penting kepada ekonomi negeri serta sumber pendapatan kepada ramai usahawan dan penternak tempatan.
“Lebih membanggakan, industri ini turut membuka ruang kepada golongan belia untuk menceburi bidang keusahawanan berasaskan agro yang lebih moden, inovatif dan berdaya saing,” katanya.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutup Pesta Ikan Hiasan dan Akuakultur Negeri Kelantan 2026 di Dataran Pantai Irama, di sini, semalam.
Menurutnya, industri ikan hiasan berupaya menjana pulangan lumayan sekiranya diusahakan secara profesional serta memenuhi keperluan dan standard pasaran eksport.
“Oleh yang demikian, saya menyeru khususnya golongan muda dan belia di Kelantan agar merebut peluang yang ada dengan menceburi bidang ikan hiasan yang mempunyai prospek masa depan yang cerah,” katanya.
Beliau juga memaklumkan, industri ikan hiasan negara turut menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan apabila Malaysia merekodkan pengeluaran kira-kira 241 juta ekor ikan hiasan bernilai RM373 juta pada tahun 2023.
Daripada jumlah tersebut, kira-kira 21 peratus disasarkan untuk pasaran eksport.
“Jabatan Perikanan Malaysia menjangkakan pengeluaran ikan hiasan negara akan meningkat kepada 352 juta ekor dengan nilai RM550 juta menjelang tahun 2030,” jelasnya.
Tambahnya, kebanyakan pengusaha ikan hiasan ketika ini tertumpu di negeri-negeri pantai barat seperti Johor, Perak dan Pulau Pinang, namun Kelantan mempunyai potensi besar untuk berkembang dalam sektor tersebut.
Katanya, pelbagai spesies ikan hiasan mempunyai permintaan tinggi di pasaran termasuk tetra, koi, discus, molly, beta, guppy dan beberapa varieti lain yang bernilai komersial.
Selain aktiviti penternakan, sektor akuakultur ikan hiasan turut menawarkan peluang dalam bidang pembenihan, teknologi sistem ternakan moden, pemasaran digital, pembangunan produk hiliran dan eksport.
Mengulas mengenai penganjuran pesta berkenaan, beliau berkata program itu menjadi platform strategik untuk memperkukuh ekosistem industri akuakultur negeri selain memperluaskan jaringan pemasaran dan membuka peluang ekonomi baharu kepada rakyat.
“Kehadiran komuniti penternak, usahawan industri asas tani dan pemain industri pada hari ini jelas menunjukkan bahawa sektor akuakultur dan ikan hiasan semakin mendapat perhatian masyarakat serta mempunyai potensi besar untuk terus berkembang di Kelantan,” katanya.
Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa hadapan bagi mempromosikan industri ikan hiasan serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap peranan sektor perikanan dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan keterjaminan makanan negara.
Untuk rekod, Malaysia pernah muncul sebagai antara pemain utama industri ikan hiasan di peringkat global dan kekal mempunyai potensi besar untuk terus memperluaskan penguasaan pasaran antarabangsa.














