Accessibility Tools

Skip to main content

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail


Akuakultur Kelantan jana lebih RM236 juta dalam tiga tahun

Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Media Exco

BACHOK, 4 Jun — Industri akuakultur Kelantan terus menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila merekodkan pengeluaran sebanyak 23,048.45 tan metrik dengan nilai melebihi RM236 juta sepanjang tempoh tiga tahun dari 2023 hingga 2025.

Pencapaian tersebut sekali gus membuktikan potensinya sebagai pemacu penting keterjaminan makanan dan pertumbuhan ekonomi negeri.

Sehubungan itu, Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, sektor akuakultur kini semakin mendapat perhatian masyarakat dan berpotensi untuk terus berkembang sebagai antara penyumbang utama kepada pengeluaran sumber protein negara.

Menurutnya, pencapaian tersebut berdasarkan rekod Jabatan Perikanan Negeri Kelantan yang menunjukkan prestasi positif industri akuakultur negeri dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

“Dalam keadaan dunia berhadapan pelbagai cabaran ekonomi dan perubahan iklim, sektor pengeluaran makanan tempatan mesti terus diperkasakan supaya bekalan sumber protein negara sentiasa stabil dan mencukupi.

“Akuakultur merupakan antara sektor yang sangat strategik kerana mampu menyediakan sumber makanan yang berkualiti, stabil dan mampu milik kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutup Pesta Ikan Hiasan dan Akuakultur Negeri Kelantan 2026 di Dataran Pantai Irama, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan negeri akan terus memperkukuh pembangunan sektor akuakultur melalui pelbagai inisiatif termasuk bantuan input, latihan teknikal, pemindahan teknologi serta pembangunan kapasiti penternak.

Katanya, sebagai galakan kepada pemain industri, kerajaan negeri turut menyalurkan bantuan langsung berjumlah lebih RM382,094 kepada penerima yang layak.

“Pada hari ini juga kita menyaksikan penyampaian bantuan input akuakultur bernilai lebih RM382,094 sebagai usaha memperkukuh pembangunan industri akuakultur di Kelantan.

“Antara bantuan yang disalurkan ialah RM120,000 kepada pemain industri perikanan darat serta RM167,461 kepada pemain industri asas tani,” jelasnya.

Beliau berharap bantuan tersebut dapat meningkatkan produktiviti pengusaha sekali gus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri perikanan negeri secara lebih mampan dan berdaya saing.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) turut meletakkan sektor akuakultur sebagai antara bidang strategik dalam agenda keterjaminan makanan negara.

Menurutnya, KPKM menyasarkan pengeluaran akuakultur menyumbang 40 peratus daripada jumlah pengeluaran ikan negara menjelang tahun 2030.

“Industri akuakultur dijangka terus berkembang dengan pengeluaran negara pada tahun 2023 direkodkan sebanyak 506,000 tan metrik bernilai RM4.5 bilion,” ujarnya.

Turut hadir, Pengarah Perikanan Negeri Kelantan Ismail Ibrahim, Ahli Dewan Negeri Pantai Irama YB Mohd Huzaimy Che Husin Ketua Jajahan Bachok Mohd Zaki Yusof serta Ketua Polis Daerah Bachok Supt. Mohamad Ismail Jamaluddin.

Pautan berjaya disalin!