RM23.3 juta selenggara sistem saliran hadapi musim tengkujuh - Dato' Dr. Izani
-
03 November 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
44
KOTA DARULNAIM, 3 November – Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri menyalurkan peruntukan berjumlah RM23.3 juta bagi kerja penyelenggaraan parit serta sistem saliran sedia ada di Kelantan sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh.
Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato’ Dr. Izani Husin berkata, jumlah itu merangkumi RM18 juta daripada Kerajaan Persekutuan dan RM5.3 juta daripada Kerajaan Negeri.
Menurutnya, hampir semua kerja penyelenggaraan parit dan saliran yang dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kini hampir selesai manakala keseluruhan kerja berkenaan dijangka dapat disiapkan sebelum musim tengkujuh.
“Saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih dan tahniah kepada jabatan-jabatan di bawah portfolio saya, yakni JPS, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan juga Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB).
“Hampir RM24 juta digunakan sebaik mungkin dan kesemua alur air dan sebagainya. Insya-Allah akan selesai sebelum musim tengkujuh ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Limbongan YB Nor Asilah Mohamed Zin pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15 Tahun 2026, hari ini.
Beliau juga menjelaskan peruntukan berkenaan hanya mencukupi untuk kerja penyelenggaraan parit dan saliran sedia ada, manakala permohonan tambahan daripada jabatan berkaitan belum diluluskan berikutan kekangan kewangan.
“Bajet-bajet ini hanya sekadar membolehkan kita menyelenggara parit-parit atau saliran-saliran sedia ada. Pihak jabatan sentiasa memohon untuk meningkatkan bajet, namun tidak diluluskan akibat keterbatasan kewangan kita,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pihak berkuasa tempatan (PBT) turut memainkan peranan penting dalam memastikan rangkaian parit di bawah seliaan masing-masing diselenggara dengan baik.
Menurutnya lagi, Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) dan PBT lain telah melaksanakan kerja pembersihan secara gotong-royong pada 2025 dan tahun-tahun sebelumnya, sekali gus membantu memastikan aliran air di kawasan pentadbiran masing-masing berada dalam keadaan baik.
Tambahnya, PBT dijangka meneruskan kerja pembersihan yang sama pada tahun ini bagi memastikan air daripada rangkaian parit dapat disalirkan ke sungai dengan lancar.
“PBT mesti menyelenggarakan rangkaian parit di bawah seliaan PBT masing-masing. Pada tahun ini juga PBT akan melaksanakan kerja-kerja yang sama untuk menjaga aliran parit di bawah PBT agar dapat dialirkan ke sungai dengan lancar,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau berharap kerjasama berterusan antara JPS dengan PBT dapat membantu menangani masalah banjir di negeri ini, khususnya melalui penyelenggaraan sistem saliran yang lebih teratur.
“Insya-Allah dengan gabungan usaha antara JPS dan PBT ini kita dapat mengatasi masalah banjir di negeri kita,” ujarnya.








