Peruntukan KB Central RM30 juta, pembangunan sehingga RM130 juta melalui kaedah BOT
-
02 November 2026
-
Oleh: Norzana Razaly
-
30
KOTA DARULNAIM, 2 November – Kerajaan Negeri Kelantan menjelaskan bahawa peruntukan sebenar yang diluluskan Kerajaan Persekutuan bagi projek KB Central ialah RM30 juta, bukannya RM250 juta seperti yang didakwa.
Sementara itu, cadangan pembangunan keseluruhan projek berkenaan bernilai antara RM50 juta hingga RM130 juta melalui kaedah Build-Operate-Transfer (BOT).
Demikian menurut Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato’ Dr. Izani Husin.
Beliau memaklumkan, jumlah RM30 juta itu berdasarkan surat kelulusan rasmi yang diterima Kerajaan Negeri daripada pihak Persekutuan.
“Peruntukan sebenar yang dipohon dan diluluskan oleh Perdana Menteri bagi projek KB Central ialah RM30 juta, bukannya RM250 juta. Perkara ini jelas berdasarkan surat kelulusan rasmi yang diterima Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan Belanjawan pada Persidangan Dewan Negeri Kelantan, di sini, hari ini.
Menurutnya, Kerajaan Negeri Kelantan turut menerima cadangan pembangunan KB Central bernilai antara RM50 juta hingga RM130 juta yang merangkumi beberapa komponen utama termasuk hotel, dewan dan kompleks komersial.
Tambahnya, cadangan pembangunan tersebut menggunakan kaedah BOT yang membolehkan projek dilaksanakan tanpa menggunakan dana negeri bagi membiayai keseluruhan pembangunan.
“Kerajaan negeri menerima cadangan pembangunan KB Central bernilai antara RM50 juta hingga RM130 juta, termasuk komponen hotel, dewan dan kompleks komersial melalui kaedah Build-Operate-Transfer (BOT), tanpa menggunakan dana negeri bagi keseluruhan pembangunan,” jelasnya.
Untuk rekod, melalui pendekatan BOT, pembangunan dan pengoperasian projek dilaksanakan oleh pihak yang dilantik berdasarkan terma perjanjian sebelum aset berkenaan diserahkan kepada pihak yang ditetapkan selepas tamat tempoh konsesi.








