Kerajaan negeri teliti akses baharu ke Jambatan Guillemard, bina muzium di Gua Musang
-
02 November 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
30
KOTA DARULNAIM, 2 November – Kerajaan Negeri meneliti pembinaan laluan akses baharu ke Jambatan Guillemard bagi memudahkan kunjungan pelawat.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Dato’ Kamarudin Md Nor berkata, pemantauan laluan dari Taman Harmoni ke jambatan bersejarah itu akan dilaksanakan menerusi lawatan tapak bersama Pejabat Pembangunan Negeri (PPN).
Menurutnya, penelitian tersebut bertujuan melihat laluan akses ke Jambatan Guillemard bagi mempertingkat kemudahan kepada pengunjung yang ingin melawat lokasi bersejarah berkenaan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi penggulungan di Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15 Tahun 2026, hari ini.
Selain usaha berkaitan laluan akses, sebuah muzium khas turut dibangunkan di Gua Musang hasil kerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Muzium berkenaan akan menempatkan rangka lengkap manusia purba Manusia Keledong yang ditemukan di tapak ekskavasi hidroelektrik Gua Musang.
Jelasnya, rangka tersebut kini disimpan di Jabatan Warisan Negara dan akan dipindahkan ke galeri khas di Gua Musang selepas pembinaannya selesai.
“Rangka lengkap Manusia Keledong yang disimpan di Jabatan Warisan Negara akan dipindahkan ke galeri khas Gua Musang sebaik sahaja pembinaannya selesai,” katanya.
Pembangunan galeri khas itu menyediakan lokasi khusus untuk menempatkan penemuan rangka manusia purba berkenaan.
Menurutnya, penemuan tersebut mempunyai nilai sejarah penting dalam memahami kewujudan penempatan awal manusia di Kelantan.
“Penemuan fosil purba ini membuktikan penempatan awal manusia telah wujud di Kelantan sejak ribuan tahun lalu dan menjadi nilai sejarah yang amat berharga,” katanya.
Kerjasama TNB dalam pembangunan muzium berkenaan turut menyokong usaha menyediakan kemudahan pameran bagi penemuan arkeologi tersebut.
Beliau yakin kedua-dua usaha itu mampu mengetengahkan potensi warisan sejarah Kelantan.








