Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan-pemain industri selaras strategi hadapi lonjakan pengunjung ECRL dan CSR

  • 02 November 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 37

KOTA DARULNAIM, 2 November – Kerajaan Negeri Kelantan menyelaraskan strategi serta rencana kerja bersepadu melibatkan pelbagai pemain industri pelancongan bagi menyusun persediaan menghadapi potensi peningkatan kedatangan pelancong susulan pengoperasian Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan lebuh raya Central Spine Road (CSR).

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Dato’ Kamarudin Md Nor berkata penyelarasan tersebut penting bagi memastikan pemain industri tempatan bersedia menerima kehadiran pengunjung apabila kemudahan pengangkutan berkenaan beroperasi.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi penggulungan di Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15 Tahun 2026, hari ini.

Antara perkara yang diberi perhatian ialah penyediaan infrastruktur di stesen utama ECRL, termasuk di Pasir Puteh.

Jelasnya, persediaan di kawasan stesen berkenaan turut mengambil kira keperluan menyediakan pakej pelancongan khusus untuk pengunjung dari luar Kelantan.

“Siri pertemuan ini akan melibatkan pengusaha hotel, inap desa, pembekal makanan serta pemandu pelancong bagi memastikan penyediaan perkhidmatan mematuhi piawaian terbaik,” katanya.

Penglibatan pengusaha penginapan dan makanan penting bagi memastikan keperluan asas pelancong dapat disediakan oleh pemain industri tempatan.

Pada masa sama, pemandu pelancong turut menjadi antara kumpulan yang akan dilibatkan dalam penyelarasan persediaan tersebut.

Menurutnya lagi, aspek kebersihan di lokasi pelancongan juga diberikan perhatian dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pengunjung.

“Fokus utama kita juga adalah memastikan kebersihan di lokasi pelancongan sentiasa dijaga memandangkan aspek ini menjadi penanda aras utama kepada pelawat luar,” jelasnya.

Pautan berjaya disalin!