Accessibility Tools

Skip to main content

Wayang kulit Kelantan bakal diiktiraf UNESCO Disember ini

  • 02 November 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 38

KOTA DARULNAIM, 2 November – Seni Wayang Kulit Kelantan dijadualkan menerima pengiktirafan rasmi sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2 Disember ini.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan YB Dato’ Kamarudin Md Nor berkata, pengiktirafan berkenaan akan disampaikan secara rasmi di Xiamen, China.

Menurutnya, pencapaian itu merupakan satu lagi perkembangan penting dalam usaha Kerajaan Negeri bersama Jabatan Warisan Negara memperkenalkan seni budaya Kelantan ke peringkat antarabangsa.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi penggulungan di Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15 Tahun 2026, hari ini.

“Pencapaian bersejarah berkenaan merupakan manifestasi kejayaan berterusan Kerajaan Negeri bersama Jabatan Warisan Negara dalam menduniakan warisan seni budaya tempatan selepas pengiktirafan Seni Mak Yong sebelum ini,” katanya.

Pengiktirafan itu menyusuli pencapaian Seni Mak Yong yang terlebih dahulu mendapat pengiktirafan UNESCO sebagai warisan budaya tidak ketara.

Jelasnya, pengiktirafan antarabangsa tersebut menjadi pengiktirafan terhadap keunikan seni persembahan tradisional yang diwarisi masyarakat Kelantan.

“Keberhasilan ini menjadi batu tanda baharu bagi usaha berterusan kita memperkenalkan produk kebudayaan tempatan ke pentas antarabangsa,” katanya.

Menurutnya lagi, seni dan kebudayaan mempunyai peranan tersendiri dalam memperkukuh identiti serta warisan negeri.

Beliau turut menegaskan bahawa sektor kebudayaan dan kesenian mempunyai hubungan rapat dengan pembangunan industri pelancongan Kelantan.

“Sumbangan kebudayaan dan kesenian tidak kurang pentingnya kerana seni warisan inilah yang menjadi tunjang sokongan utama dalam memajukan industri pelancongan negeri,” katanya.

Pengiktirafan yang bakal diterima itu turut membuka ruang untuk seni warisan Kelantan terus diperkenalkan kepada masyarakat antarabangsa. Sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri Kelantan dalam memelihara warisan seni budaya tempatan, selain mengangkat keistimewaannya sebagai sebahagian daripada tarikan pelancongan negeri.

Pautan berjaya disalin!