Dakwah orang asli: Pendekatan menyeluruh, bentuk pelapis kepimpinan masa depan
-
02 November 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
33
KOTA DARULNAIM, 2 November - Kerajaan Negeri Kelantan terus mempergiat usaha memperkasakan dakwah dalam kalangan masyarakat Orang Asli menerusi pendekatan menyeluruh yang bukan sahaja memberi penekanan kepada pengajaran dan kefahaman agama, malah merangkumi pembangunan sahsiah serta pembentukan kepimpinan masa depan.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata, pelbagai inisiatif dilaksanakan secara berterusan menerusi kerjasama agensi hal ehwal agama Islam dan rakan strategik bagi memastikan masyarakat orang asli terus mendapat perhatian serta bimbingan sewajarnya.
Katanya, antara pendekatan utama ialah program Ziarah Dakwah Ukhuwah yang dilaksanakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) bersama Yayasan Amanah Tok Kenali, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).
"Program Ziarah Dakwah Ukhuwah ini sudah memasuki fasa kelima dan boleh dikatakan telah pergi ke seluruh tempat orang asli. Pada tahun 2026, program ini telah diadakan di Pos Balar, Lojing dan Pos Hau."
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Tawang YB Harun Ismail, pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Kelima Belas, tahun 2026, hari ini.
Menurutnya, MAIK turut menghantar sepuluh mualaf dan lapan peserta daripada kalangan masyarakat orang asli ke Ijtimak Amal Islami Muallaf Madani di Universiti Malaysia Sabah pada September 2026.
Katanya, penyertaan itu membuahkan hasil apabila dua peserta memperoleh pencapaian membanggakan dalam pertandingan yang disertai.
"Jasni Angah yang menyertai acara hafazan al-Quran lelaki memperoleh markah 98 peratus, manakala Iran Hamid yang menyertai acara azan dan iqamah mendapat 92 peratus. Kedua-duanya masing-masing merupakan imam tua dan imam muda di Masjid Mukim Pos Balar.
"Ini membuktikan masyarakat Orang Asli juga mempunyai tokoh serta pelapis kepimpinan yang berpotensi untuk diketengahkan pada masa hadapan," jelasnya.
Kata YB Mohd Asri lagi, kerajaan negeri turut melaksanakan pelbagai program pemantapan dakwah termasuk Jelajah Daie, Jalinan Ukhuwah serta program sempena sambutan hari kebesaran Islam seperti Ramadan dan ibadah korban bersama masyarakat Orang Asli.
Beliau juga memaklumkan bahawa masyarakat orang asli turut diberi peluang berbuka puasa bersama Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassurudiin Daud di Tahfiz Daril Ulum pada tahun lalu sebagai usaha merapatkan hubungan antara pemimpin negeri dengan komuniti berkenaan.
Dalam aspek pembangunan infrastruktur pula, beliau berkata kerajaan negeri menyalurkan peruntukan bagi pembinaan dewan serbaguna di Pos Tuel serta membaik pulih Masjid Al-Asriah di Pos Balar pada tahun lalu bagi menyokong pelaksanaan aktiviti dakwah.
Katanya, usaha membimbing masyarakat Orang Asli yang memeluk Islam turut diberi perhatian melalui penempatan Pembantu Hal Ehwal Islam atau mualim oleh JAHEAIK untuk tinggal bersama komuniti berkenaan.
"Langkah itu bagi memastikan keluarga Orang Asli yang sudah memeluk Islam terus mendapat bimbingan dan kekal dalam agama Islam.
"Kerjasama turut dijalinkan dengan guru agama MAIK, penggerak masyarakat Orang Asli di peringkat JAKIM serta daie YADIM bagi memperluaskan majlis ilmu seperti tazkirah dan kuliah," katanya.
Tambah YB Mohd Asri, MAIK juga menyalurkan bantuan zakat kepada golongan asnaf dalam kalangan masyarakat Orang Asli, termasuk bantuan barangan kepada ketua isi rumah (KIR) sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan mereka.








