Personal cabaran utama dalam urusan dakwah kepada orang asli
-
02 November 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
31
KOTA DARULNAIM, 2 November - Personal Orang Asli yang perlu sentiasa disantuni dan didekati menjadi cabaran utama dalam usaha menyebarkan dakwah kepada mereka, kata Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud.
Justeru beliau menyeru semua pihak supaya bersama-sama memainkan peranan mendekati dan membimbing masyarakat Orang Asli, khususnya dalam aspek kebajikan, pendidikan serta pembangunan agama, dan tidak menyerahkan tanggungjawab itu kepada pihak berkuasa agama semata-mata.
"Saya turut mengajak semua pihak supaya pergi ke pos-pos orang asli untuk mendekati mereka, memberi bantuan yang selayaknya, melihat keadaan keluarga mereka dan masa depan pendidikan mereka.
"Jadi, semua pihak perlu mengambil tanggungjawab ini dan jangan hanya diserahkan kepada pihak berkuasa agama sahaja," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama YB Dr. Hafidzah Mustakim mengenai cabaran utama kerajaan negeri dalam membimbing masyarakat Orang Asli serta usaha melatih pendakwah daripada kalangan komuniti itu sendiri, pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Kelima Belas, tahun 2026, hari ini.
Mengulas usaha melahirkan pendakwah dalam kalangan orang asli, YB Mohd Asri berkata, Yayasan Amanah Tok Kenali dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) sudah menganjurkan Kem Pemantapan Fardu Ain Remaja Asli di Pos Brooke yang membabitkan 40 peserta berusia antara lapan hingga 16 tahun.
Kata YB Mohd Asri lagi, peserta diberikan latihan dalam tempoh tertentu bagi mempersiapkan mereka menjadi pendakwah serta imam di masjid-masjid di kawasan masing-masing.
Tambahnya, latihan melahirkan pendakwah dalam kalangan masyarakat orang asli turut dilaksanakan secara berterusan oleh kerajaan negeri, manakala Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menyediakan tajaan pendidikan bagi melahirkan pendakwah pada masa depan.
Antara usaha itu termasuk tajaan kepada tiga pelajar orang asli yang sedang mengikuti pengajian peringkat menengah di Maahad Tahfiz Kiblah, Sepang.
Selain itu, seorang pelajar orang asli sedang mengikuti pengajian Diploma Pengajian Islam tahun kedua di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS).
Seorang lagi pula sedang mengikuti pengajian Sarjana Muda Pengajian Islam (Dakwah dan Kepimpinan) tahun pertama di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).








