Accessibility Tools

Skip to main content

46 Ahli Majlis wanita dalam PBT, pemerkasaan kepimpinan wanita diperluas – Dato’ Rohani

  • 02 November 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 34

KOTA DARULNAIM, 2 November – Sebanyak 46 wanita dilantik sebagai Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Kelantan sebagai usaha memperluas penyertaan golongan wanita dalam kepimpinan, pentadbiran dan proses membuat keputusan di peringkat kerajaan tempatan.

Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato’ Rohani Ibrahim berkata, Kerajaan negeri sentiasa memberikan perhatian terhadap agenda pemerkasaan wanita, khususnya dalam memperluaskan ruang penyertaan mereka di semua peringkat kepimpinan dan pentadbiran.

“Kerajaan Negeri Kelantan sentiasa memberikan perhatian terhadap agenda pemerkasaan wanita, khususnya dalam memperluaskan ruang agenda pemerkasaan wanita, iaitu dari sudut penyertaan wanita di peringkat kepimpinan, pentadbiran dan proses membuat keputusan di semua peringkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan Belanjawan 2026 pada Persidangan Kali Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Kelima Belas Tahun 2026, hari ini.

“Dalam usaha memperluaskan penyertaan wanita dalam pembuatan keputusan di peringkat pihak berkuasa tempatan, seramai 46 orang wanita telah dilantik sebagai Ahli Majlis,” ujarnya.

Katanya, penyertaan wanita dalam kepimpinan negeri turut melibatkan 43 pegawai tadbir negeri dan pegawai tadbir agama wanita di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan serta 19 mudirah atau pengetua wanita di sekolah-sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Selain itu, sejumlah 36 wanita menganggotai Majlis Perundingan Wanita Negeri (MPWN), manakala Majlis Perundingan Wanita Parlimen (MPWP) melibatkan 442 wanita di seluruh Kelantan.

Mengulas peranan MPWP, Dato’ Rohani berkata, keanggotaan tersebut berfungsi sebagai penghubung antara golongan wanita di peringkat akar umbi dengan kerajaan negeri.

“MPWP berfungsi sebagai mata, telinga, semak dan imbang kepada kerajaan negeri di peringkat parlimen.

“MPWP berperanan membawa suara wanita, isu dan keperluan wanita di peringkat akar umbi kepada pihak kerajaan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata seramai 86 wanita turut dilantik sebagai penghulu bagi memperluas peranan mereka dalam proses membuat keputusan di peringkat komuniti dan pentadbiran setempat.

Katanya, kerajaan negeri turut menyediakan ruang melahirkan pelapis kepimpinan wanita menerusi Projek Perantis Kepimpinan Wanita Junior (Abqariah) dengan memilih empat peserta untuk menjalani praktikal lapangan selama tiga bulan di Dewan Rakyat, Dewan Negara dan Dewan Undangan Negeri.

Tambahnya, program Pertandingan Pidato Komuniti di bawah kelolaan MPWN berjaya melahirkan 42 orator bagi membantu menyampaikan maklumat dan pencapaian kerajaan negeri di peringkat komuniti.

Bagaimanapun, Dato’ Rohani mengakui Kelantan masih belum mencapai sasaran 30 peratus penyertaan wanita dalam kepimpinan dan posisi pembuat keputusan di peringkat tertinggi negeri.

“Walaupun Kelantan belum lagi mencapai 30 peratus penyertaan wanita dalam kepimpinan dan posisi pembuat keputusan di peringkat tertinggi negeri, namun mereka mempunyai suara di semua peringkat akar umbi.

“Insya-Allah kita akan berusaha ke arah tersebut di masa-masa akan datang,” katanya.

Pautan berjaya disalin!