Accessibility Tools

Skip to main content

Pendigitalan ekonomi negeri: Prasarana teknologi Pasar Wakaf Bharu dinaik taraf – Dato’ Wan Roslan

  • 02 November 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 35

KOTA DARULNAIM, 2 November – Pasar Wakaf Bharu diberi tumpuan dalam agenda pendigitalan ekonomi negeri menerusi sokongan kerajaan negeri terhadap cadangan menaik taraf prasarana fizikal dan memperluas penggunaan teknologi digital bagi meningkatkan keselesaan peniaga serta pengunjung.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, cadangan berkenaan mendapat sokongan Kerajaan negeri melalui Portfolio Pembangunan Ekonomi dan selaras dengan Pelan Induk Ekonomi Digital Negeri Kelantan.

Menurutnya, inisiatif tersebut khususnya menepati teras mewujudkan masyarakat digital yang inklusif yang memberi penekanan kepada peluasan penggunaan teknologi digital dalam kalangan masyarakat.

“Kerajaan negeri melalui Portfolio Pembangunan Ekonomi menyokong cadangan naik taraf prasarana fizikal dan pendigitalan Pasar Wakaf Bharu.

“Inisiatif ini selaras dengan Pelan Induk Ekonomi Digital Negeri Kelantan, khususnya teras mewujudkan masyarakat digital yang inklusif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Wakaf Bharu YB Mohd Rusli Abdullah pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Kelima Belas Tahun 2026, hari ini.

Dato’ Wan Roslan juga memaklumkan bahawa pelaksanaan inisiatif berkenaan melibatkan kerjasama beberapa pihak termasuk Kelantan ICT Gateway Sdn Bhd, Majlis Pembangunan Usahawan Kelantan (MPUK), Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat (BPTM), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri serta Bank Negara Malaysia.

Menurutnya, Pasar Wakaf Bharu juga telah dikenal pasti sebagai antara lokasi awal pelaksanaan Program Jelajah Go Digital yang berlangsung pada 9 Mac 2022.

“Melalui program ini, usaha dilaksanakan bagi memperluas penggunaan transaksi tanpa tunai dalam kalangan peniaga perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta pengunjung pasar,” ujarnya.

Tambahnya, kemudahan pembayaran digital yang disediakan merangkumi penggunaan DuitNow QR, terminal bayaran dan e-dompet bagi memudahkan urusan jual beli.

Menurut Dato’ Wan Roslan lagi, pendedahan turut diberikan kepada peniaga mengenai aspek kecekapan dan keselamatan dalam melaksanakan transaksi secara digital.

“Program ini juga memberi pendedahan berkaitan kecekapan serta keselamatan transaksi digital,” katanya.

Pautan berjaya disalin!