Accessibility Tools

Skip to main content

150 syarikat tempatan diberi peluang sertai rangkaian vendor TBSB

  • 02 November 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 41

KOTA DARULNAIM, 2 November – Sebanyak 150 syarikat tempatan telah diberi peluang menyertai rangkaian vendor Tok Bali Supply Base (TBSB) menerusi usaha Kerajaan Negeri Kelantan memperluas penglibatan usahawan Kelantan dalam sektor perkhidmatan, teknologi dan perbekalan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, inisiatif pembangunan vendor tempatan itu merupakan antara langkah yang dilaksanakan kerajaan negeri bersama pihak TBSB bagi meningkatkan operasi pelabuhan berkenaan serta memastikan lebih banyak manfaat ekonomi dapat dinikmati rakyat.

Menurutnya, syarikat tempatan yang terlibat turut dibimbing dalam aspek prosedur operasi standard (SOP), keselamatan pekerjaan, pendaftaran vendor dan keperluan berkaitan supaya berupaya memenuhi kehendak industri.

“Setakat ini, sebanyak 150 syarikat tempatan telah diberikan peluang sebagai vendor di TBSB merangkumi pelbagai sektor seperti perkhidmatan, teknologi, perbekalan dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Semerak pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Ke-15 Tahun 2026, di sini, hari ini.

Jelasnya, kerajaan negeri turut mengadakan perbincangan meja bulat bersama usahawan tempatan bagi mengenal pasti peluang penyertaan mereka dalam rangkaian perniagaan TBSB.

Dalam perkembangan sama, kerajaan merancang melaksanakan program padanan perniagaan (business matching) antara rangkaian TBSB sedia ada dengan usahawan tempatan bagi membuka lebih banyak peluang kerjasama dan kontrak perniagaan.

Tambahnya, program inkubasi juga dirancang bagi melahirkan usahawan yang mampu memenuhi keperluan industri, khususnya dalam kalangan usahawan baharu dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) berpotensi tinggi.

Inisiatif itu turut memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan penggunaan produk serta teknologi TBSB bagi menyokong pembangunan di Tok Bali dan memperluas peluang penyertaan syarikat tempatan dalam ekosistem industri berkenaan.

Menurutnya, usaha tersebut secara tidak langsung menyediakan laluan kepada belia Kelantan untuk menceburi pelbagai bidang, terutama perkhidmatan logistik dan teknologi.

Dalam pada itu, kerajaan negeri melalui anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Kelantan Ventures sedang mengenal pasti potensi pelaburan dan kerjasama strategik bersama TBSB bagi memperkukuh peranan pelabuhan itu sebagai pemacu ekonomi negeri.

Perbincangan turut diadakan dengan Petronas yang meletakkan TBSB sebagai sebuah pelabuhan penting pada masa hadapan dalam pembangunan industri gas dan petroleum.

Pautan berjaya disalin!