Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan teliti pelaburan strategik TBSB, Petronas lihat potensi hab gas dan petroleum

  • 02 November 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 46

KOTA DARULNAIM, 2 November – Kerajaan Negeri Kelantan sedang meneliti potensi pelaburan dan kerjasama strategik dengan Tok Bali Supply Base (TBSB) bagi memperluas peranan pelabuhan berkenaan sebagai pemacu pembangunan industri maritim, gas dan petroleum di Tok Bali.

Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, usaha itu turut melibatkan perbincangan dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) yang melihat TBSB berpotensi menjadi pelabuhan penting dalam pembangunan industri gas dan petroleum pada masa hadapan.

Menurutnya, kerajaan negeri berhasrat memperkasa pelaburan dalam TBSB menerusi Kelantan Ventures, anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), di samping meneroka peluang kerjasama yang mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.

“Sememangnya menjadi hasrat kerajaan negeri agar pelaburan kerajaan negeri, khususnya melalui anak syarikatnya dalam Tok Bali Supply Base (TBSB), terus diperkasakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Semerak YB Norsham Sulaiman pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Ke-15 Tahun 2026, di sini, hari ini.

Dato’ Dr. Mohamed Fadzli menjelaskan, kerajaan negeri turut memberikan tumpuan kepada penglibatan syarikat tempatan dalam rantaian industri TBSB supaya pembangunan pelabuhan berkenaan dapat membuka lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan kepada rakyat Kelantan.

Katanya lagi, antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk memperluas penyertaan vendor tempatan dengan membuka peluang kepada 150 syarikat dalam pelbagai bidang merangkumi perkhidmatan, teknologi dan perbekalan.

Beliau memaklumkan, syarikat yang menyertai rangkaian vendor berkenaan turut diberikan bimbingan berkaitan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), keselamatan pekerjaan, pendaftaran vendor serta keperluan teknikal bagi memenuhi piawaian industri.

Selain itu, kerajaan negeri mengadakan perbincangan meja bulat bersama usahawan tempatan dan merancang program padanan perniagaan bagi menghubungkan syarikat Kelantan dengan rangkaian industri serta peluang perolehan TBSB.

Tambahnya, langkah tersebut bertujuan meningkatkan penyertaan pengusaha tempatan dalam sektor perkhidmatan pelabuhan, logistik dan teknologi yang mempunyai potensi berkembang seiring pembangunan Tok Bali.

Dalam pada itu, kerajaan negeri turut merancang program inkubasi bagi meningkatkan keupayaan usahawan baharu serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berpotensi menyertai rantaian bekalan industri maritim.

Program berkenaan dijangka memberikan penekanan kepada pembangunan kemahiran, pematuhan piawaian industri dan peningkatan daya saing syarikat tempatan.

Jelasnya, usaha memperluas kerjasama strategik dengan TBSB tertumpu kepada pembangunan kemudahan pelabuhan dan merangkumi pembinaan ekosistem industri yang membolehkan lebih ramai usahawan dan belia Kelantan menyertai sektor ekonomi bernilai tinggi.

Pautan berjaya disalin!