Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan belanja RM10.85 juta untuk baik pulih 1,034 rumah, sumbang bahan binaan

  • 02 November 2026
  • Oleh: Asri Hamat
  • 42

KOTA DARULNAIM, 2 November - Kerajaan Kelantan membelanjakan sebanyak RM10.85 juta bagi melaksanakan bantuan baik pulih 1,034  rumah dan sumbangan bahan binaan sepanjang tahun 2024 dan 2025.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 473 bantuan dilaksanakan pada tahun 2024 dengan perbelanjaan RM5,044,139.90.

Katanya, pada tahun 2025 pula sebanyak 561 bantuan disalurkan membabitkan perbelanjaan RM5,811,598.14.

"Bantuan tersebut meliputi kerja baik pulih kediaman dan sumbangan bahan binaan berdasarkan keperluan serta tahap kerosakan rumah penerima.

"Pemilihan penerima dilaksanakan melalui proses permohonan, siasatan dan pengesahan oleh Pejabat Tanah dan Jajahan tertakluk kepada syarat kelayakan serta kekangan peruntukan semasa."

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Nenggiri YB Mohd Azmawi Fikri Abdu Ghani, pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) bagi Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Kelima Belas, hari ini.

Menurutnya, jumlah berkenaan tidak termasuk pembinaan 180 rumah dhuafa setiap tahun di seluruh negeri dengan kos RM65,000 bagi sebuah rumah.

Katanya, kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM11.7 juta setahun bagi pembinaan rumah dhuafa.

"Sebenarnya kalau kita membelanjakan kewangan untuk membantu golongan yang lemah, Allah akan memurahkan rezeki kita.

"Sebab itu kita kena banyakkan program membantu golongan yang lemah dengan berbuat baik kepada mereka," katanya.

Menjawab soalan tambahan ADN yang sama berhubung bantuan baik pulih rumah kepada golongan miskin yang menetap di tanah rizab kerajaan tanpa geran hak milik kekal, Menteri Besar menjelaskan bahawa pembinaan rumah di atas tanah rizab kerajaan tanpa kebenaran adalah satu kesalahan dari segi undang-undang.

Katanya, kerajaan negeri tidak boleh menyalurkan bantuan kepada mereka yang membina rumah di atas tanah rizab kerajaan tanpa pemilikan atau kebenaran yang sah.

Walau bagaimanapun, penduduk di kawasan Gua Musang dan Jeli boleh berbincang dengan Pejabat Tanah dan Jajahan bagi mengenal pasti tanah kerajaan yang boleh dipertimbangkan untuk diluluskan sebagai tapak rumah.

Dalam perkembangan lain, menjawab soalan ADN Semerak YB Norsham Sulaiman mengenai bantuan lain bagi membantu keluarga miskin mendapatkan keperluan asas kediaman, Menteri Besar berkata, kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan RM4.35 juta menerusi Program Pembelaan Rakyat Miskin.

Tambahnya, program yang dilaksanakan melalui Pejabat Tanah dan Jajahan itu bertujuan meningkatkan kualiti hidup keluarga miskin dan miskin tegar menerusi bantuan kewangan serta barangan keperluan asas.

"Permohonan boleh dibuat melalui Pejabat Tanah dan Jajahan, penghulu atau Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum dikemukakan kepada Pejabat Tanah untuk diproses," jelasnya.

Pautan berjaya disalin!