Peruntukan RM500,000 bangunkan kompleks tukun tiruan
-
02 November 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
44
KOTA DARULNAIM, 2 November – Kerajaan Negeri memperuntukkan RM500,000 dalam Belanjawan Kelantan 2027 bagi membangunkan kompleks tukun tiruan secara berperingkat di empat jajahan pesisir pantai.
Peruntukan itu merupakan antara langkah memperluas pembangunan tukun tiruan di perairan negeri bagi membantu memelihara sumber perikanan serta melindungi kawasan tangkapan nelayan tempatan.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, perancangan tersebut dilaksanakan melalui kerjasama jabatan dan agensi berkaitan, khususnya Jabatan Perikanan Negeri Kelantan.
Menurutnya, pembangunan kompleks tukun tiruan itu akan dilaksanakan secara bergilir-gilir di empat jajahan berkenaan bagi memastikan usaha pemuliharaan sumber marin dapat diperluas ke kawasan perairan yang dikenal pasti.
“Insya-Allah, kalau kita tengok dalam bajet yang akan datang, telah dimasukkan sejumlah RM500,000 bagi pembangunan tukun tiruan untuk membina kompleks tukun tiruan yang sepatutnya wujud di keempat-empat kawasan iaitu Pasir Puteh, Bachok, Tumpat dan Kota Bharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri (ADN) Chempaka, YB Nik Asma’ Bahrum Nik Abdullah, pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Ke-15 Tahun 2026, di sini, hari ini.
Jelasnya, kawasan Kuala Besar di Kota Bharu antara lokasi yang telah menerima penempatan tukun tiruan dengan rekod sebanyak 58 unit dilabuhkan sejak tahun 2009.
Daripada jumlah itu, sebanyak 14 unit dilabuhkan pada tahun 2009, diikuti 20 unit pada tahun 2010, tujuh unit pada tahun 2023 dan 17 unit pada tahun 2024.
Tambahnya, bagi perancangan tahun hadapan, Kerajaan Negeri berkemungkinan memberi tumpuan kepada kawasan Pasir Puteh, Tok Bali dan Pantai Cahaya Bulan (PCB) di Kota Bharu.
Dalam masa sama, permintaan ADN Kijang supaya kawasan Kuala Besar diberi perhatian turut akan diambil kira bagi memastikan pembangunan kompleks tukun tiruan dapat dilaksanakan secara bergilir-gilir di empat jajahan berkenaan.
Selain peruntukan RM500,000 itu, Kerajaan Negeri turut mengemukakan permohonan melalui Jabatan Perikanan di bawah Program Pemerkasaan Agro Makanan Negara (PPAN) untuk melabuhkan sekurang-kurangnya 50 lagi tukun tiruan konservasi jenis bot halang pukat tunda dengan anggaran peruntukan RM2 juta.
Menurutnya, penambahan tukun berkenaan bertujuan menghalang pencerobohan bot pukat tunda ke kawasan perairan nelayan tempatan, selain membantu ikan membiak dengan lebih cepat.
Usaha itu juga diharap dapat mengurangkan keperluan nelayan tempatan menangkap ikan melebihi empat batu nautika atau kira-kira sembilan kilometer dari pesisir pantai, sekali gus menjimatkan kos operasi serta meningkatkan hasil tangkapan mereka.








