Kelantan labuh 400 tukun tiruan bernilai RM8.46 juta dalam sejak 2007 - YB Dato’ Tuan Saripudin
-
02 November 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
41
KOTA DARULNAIM, 2 November – Sebanyak 400 unit tukun tiruan konservasi dan rekreasi bernilai RM8.46 juta telah dilabuhkan di perairan Kelantan dalam tempoh 19 tahun sejak tahun 2007 hingga 2026 bagi memelihara ekosistem marin, meningkatkan sumber perikanan serta melindungi kawasan tangkapan nelayan tradisional.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, tukun tiruan berfungsi sebagai habitat perlindungan, pembiakan dan asuhan hidupan marin, selain menjadi benteng penambat bagi menghalang pencerobohan bot pukat tunda.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Chempaka YB Nik Bahrum Nik Abdullah pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Ke-15 Tahun 2026, di sini, hari ini.
Menurutnya, bagi tahun 2026, sebanyak 72 unit tukun tiruan telah dilaksanakan dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.65 juta menerusi tiga inisiatif utama.
Inisiatif pertama melibatkan Program Pemerkasaan Agro Makanan Negara (PPAN) dengan pelaksanaan 26 unit tukun tiruan bernilai RM1 juta, masing-masing 13 unit di perairan Bachok dan 13 unit di Pasir Puteh.
Selain itu, sebanyak 30 unit tukun tiruan turut dilabuhkan di perairan Tok Bali, Pasir Puteh menerusi kurniaan Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan dengan kos kerja-kerja melabuh sahaja berjumlah RM200,000.
Sementara itu, Jabatan Perikanan Negeri Kelantan turut melaksanakan pemasangan 16 unit tukun tiruan dengan peruntukan RM450,000, melibatkan lapan unit di perairan Bachok dan lapan unit di Pasir Puteh.
Tambahnya, pelaksanaan ketiga-tiga inisiatif berkenaan merupakan sebahagian usaha berterusan dalam memperkukuh pemuliharaan sumber perikanan serta menyediakan kawasan habitat yang sesuai bagi pembiakan dan pertumbuhan hidupan marin.
Sehubungan dengan itu, kerajaan negeri akan terus memperkukuh pembangunan tukun tiruan melalui kerjasama dan penyelarasan antara agensi berkaitan bagi memastikan kelestarian sumber perikanan terus terpelihara.
Usaha berkenaan turut memberi perhatian kepada kesejahteraan komuniti nelayan, khususnya nelayan Zon A atau nelayan tradisional, selain menyokong agenda keterjaminan makanan negara.








