Accessibility Tools

Skip to main content

Operasi selaman skuba- kerjasama persatuan nelayan bendung pencerobohan perairan – Dato’ Tuan Saripudin

  • 02 November 2026
  • Oleh: Syamimi Manah
  • 44

KOTA DARULNAIM, 2 November - Kerajaan Negeri Kelantan menerusi Jabatan Perikanan melaksanakan pemantauan berkala melalui aktiviti selaman skuba serta kerjasama dengan persatuan nelayan bagi membendung pencerobohan perairan yang boleh menjejaskan sumber pendapatan golongan itu.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, aktiviti selaman skuba dilaksanakan setiap tahun bagi memantau perkembangan pembiakan ikan di kawasan perairan terlibat.

Menurutnya, aktiviti berkenaan turut bertujuan mengenal pasti pukat tunda yang tersangkut di kawasan berkenaan untuk kerja-kerja pembersihan bagi memastikan habitat ikan berada dalam keadaan baik.

“Kita telah buat komuniti selaman skuba Jabatan Perikanan untuk melihat perkembangan ikan-ikan membiak dengan baik.

“Setakat ini memang setiap tahun ada selaman skuba ini untuk melihat ikan-ikan. Selaman ini juga untuk melihat pukat-pukat tunda yang tersangkut untuk membuat pembersihan supaya ikan ini membiak dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri (ADN) Galas YB Dato’ Mohd Syahbuddin Hashim, pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Ke-15 Tahun 2026, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan negeri turut berusaha melaksanakan tindakan dari semasa ke semasa bagi memastikan kegiatan pencerobohan perairan dapat dielakkan.

“Dari semasa ke semasa kita berusaha untuk melakukan tindakan bagi mengelakkan pencerobohan,” ujarnya.

Tambahnya, kerjasama dengan persatuan nelayan turut menjadi antara pendekatan penting kerana golongan itu lebih memahami keadaan dan selok-belok kawasan perairan setempat.

“Kerjasama juga dibuat dengan persatuan nelayan kerana mereka lebih mengetahui selok-belok kawasan berkenaan dan kita turut melakukan operasi bagi mengelakkan pencerobohan,” jelasnya.

Pautan berjaya disalin!