Pastikan belia Machang ikuti latihan Taman Perindustrian IBS - YB Azhar
-
01 November 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
57
KOTA DARULNAIM,1 November- Kerajaan Negeri Kelantan dicadangkan supaya memastikan golongan belia di Machang dan Pulai Chondong diberi peluang mengikuti latihan kemahiran Industri Binaan Berindustri (IBS) menerusi pembangunan Taman Perindustrian IBS di Labok, Machang.
Cadangan itu dikemukakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Pulai Chondong YB Azhar Salleh ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan Negeri Kelantan 2027 pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Ke-15, hari ini.
Ketika menyentuh Teras Ketiga berkaitan belanjawan ekonomi progresif dan berdaya tahan, beliau berkata, pembangunan Taman IBS Machang mempunyai potensi besar untuk membuka peluang pekerjaan serta menarik pelaburan ke daerah berkenaan.
Menurutnya, taman perindustrian yang dibangunkan di Labok itu melibatkan kawasan seluas kira-kira 80.94 hektar atau 200 ekar.
Pembangunan fasa pertama merangkumi 47 lot industri, 60 lot komersial dan sebuah pusat kecemerlangan IBS, manakala peruntukan infrastruktur bagi fasa berkenaan yang dilaporkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) adalah sebanyak RM74.6 juta.
Walau bagaimanapun katanya, kejayaan projek berkenaan tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan penyempurnaan infrastruktur dan penjualan lot industri semata-mata.
Sehubungan dengan itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan negeri memastikan belia Machang dan Pulai Chondong diberi peluang mengikuti latihan kemahiran IBS melalui kerjasama CIDB dengan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Pada masa sama, kerajaan negeri juga disaran mewujudkan program pembangunan vendor tempatan bagi membolehkan kontraktor kecil, pembekal bahan binaan, pengusaha pengangkutan, penyedia makanan serta usahawan tempatan menyertai rantaian bekalan industri.
Beliau berkata, langkah berkenaan penting bagi memastikan pembangunan Taman Perindustrian IBS Machang turut membuka ruang penyertaan kepada tenaga kerja dan pengusaha tempatan.








