KIAS perlu pelan strategik menuju status universiti penuh
-
01 November 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
59
KOTA DARULNAIM, 1 November - Kerajaan Kelantan disaran menyediakan pelan strategik Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) bagi tempoh 2027 hingga 2035 sebagai langkah jangka panjang untuk merealisasikan hasrat menjadikan institusi itu sebuah universiti penuh.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Pulai Chondong, YB Azhar Salleh, berkata masa depan KIAS sebagai aset institusi ilmu dan pendidikan tinggi negeri perlu diberi perhatian serius dalam usaha memperkasakan pembangunan agama serta modal insan yang menjadi teras Belanjawan Negeri Kelantan 2027.
Katanya, kerajaan negeri bersama pengurusan KIAS perlu memastikan institusi berkenaan memenuhi keperluan akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan syarat ditetapkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
"KIAS juga perlu memperkukuh bidang teras seperti Pengajian Islam Kontemporari, Kewangan Islam, Industri Halal, Pendidikan dan Pengurusan.
"Pada masa yang sama, KIAS perlu memperluas kursus jangka pendek, kursus profesional, Micro Credential, penyelidikan, khidmat perundingan dan kerjasama industri sebagai sumber pendapatan sendiri."
Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan Negeri Kelantan 2027, pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Kelima Belas, hari ini.
Mengulas mengenai teras kesejahteraan sosial dan perlindungan rakyat pula, beliau mencadangkan supaya tanah terbiar yang luas, khususnya di Machang, dimanfaatkan melalui pembangunan zon pertanian melon manis.
Katanya, terdapat tanah terbiar seluas 773.5 hektar yang berpotensi dibangunkan bagi mengukuhkan keterjaminan makanan.
"Saya menghargai usaha kerajaan negeri yang telah membangunkan 3,332.92 hektar tanah terbiar sepanjang 2006 hingga 2024 dengan peruntukan sebanyak RM26.34 juta.
"Namun, saya mencadangkan supaya inventori tanah terbiar dikemas kini, khususnya di Machang dan Pulai Chondong dengan memberi perhatian kepada masalah tanah pusaka, pemilikan bersama dan kekurangan modal," katanya.








