Accessibility Tools

Skip to main content

Pertumbuhan ekonomi 4.1 peratus pacu pembangunan Kuala Balah

  • 01 November 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 70

KOTA DARULNAIM, 1 November – Peningkatan pertumbuhan ekonomi Kelantan kepada 4.1 peratus membuka ruang kepada usaha memperluas pembangunan luar bandar, khususnya di Kuala Balah dan Jeli bagi merapatkan jurang sosioekonomi serta meningkatkan taraf hidup penduduk setempat.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Balah YB Dato’ Abdul Hadi Awang Kechil berkata, pendekatan Belanjawan 2027 memperlihatkan usaha kerajaan negeri membawa perubahan pembangunan yang lebih menyeluruh agar masyarakat luar bandar turut menikmati manfaat pertumbuhan ekonomi negeri.

Beliau berkata demikian ketika membahas Belanjawan pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15 Tahun 2026, hari ini.

“Secara keseluruhan bajet yang dibentangkan, saya dapati kerajaan negeri sedang membawa perubahan besar untuk merapatkan jurang pembangunan ekonomi antara bandar dan luar bandar, merapatkan jurang pendapatan antara yang kaya dan miskin, serta meningkatkan pendapatan dan taraf hidup rakyat luar bandar,” katanya.

Menurutnya, prestasi ekonomi negeri menunjukkan perkembangan apabila kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) meningkat daripada 3.3 peratus pada 2024 kepada 4.1 peratus pada 2025.

Sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang utama ekonomi negeri dengan 71.8 peratus, manakala sektor pertanian menyumbang sebanyak 19.8 peratus kepada keseluruhan KDNK Kelantan.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan pembangunan sebuah bandar baharu di Kuala Balah melalui penyediaan dan penaiktarafan infrastruktur asas bagi meningkatkan kemudahan serta merangsang aktiviti ekonomi penduduk setempat.

Antara kemudahan yang dicadangkan termasuk sistem pencahayaan, balai bomba, institusi perbankan, pejabat pos dan stesen minyak, selain hab pengumpulan serta pengedaran produk pertanian berskala besar.

Dalam usaha memperkukuh pembangunan modal insan, beliau turut mengemukakan cadangan pembinaan sebuah pusat pengajian tinggi di DUN Kuala Balah sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi dan pembangunan kawasan berkenaan.

Cadangan itu juga berpotensi menyokong perkembangan industri hiliran melalui pengukuhan rantaian nilai produk pertanian tempatan, khususnya jagung dan sayur-sayuran yang diusahakan oleh komuniti setempat.

Pembangunan hab pengumpulan dan pengedaran hasil pertanian pula dilihat penting bagi memperluas peluang pemasaran produk tempatan serta menyokong aktiviti ekonomi masyarakat yang bergantung kepada sektor berkenaan.

Pautan berjaya disalin!