Pantai Geting lokasi sukan pelayaran SUKMA 2028, bina kemudahan sukan di Rantau Panjang
-
02 November 2026
-
super upkn
-
30
KOTA DARULNAIM, 2 November - Pantai Geting, Tumpat dipilih sebagai lokasi bagi acara sukan pelayaran sempena Sukan Malaysia (SUKMA) 2028 yang bakal berlangsung di Kelantan.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata, keputusan itu dipersetujui Kerajaan Negeri menerusi Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan.
Katanya, bagi meningkatkan kemudahan prasarana di lokasi berkenaan, MSN Kelantan sudah mengemukakan permohonan peruntukan RM500,000 kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi tahun 2027.
Peruntukan tersebut bertujuan menaik taraf kemudahan pusat latihan sukan pelayaran, khususnya dari segi keupayaan fasiliti dan persekitaran pusat latihan berkenaan.
"Untuk makluman, pada tahun 2026 peruntukan atau perbelanjaan sebanyak RM30,000 sudah diluluskan dan beberapa projek juga sudah dilaksanakan.
"Insya-Allah, bagi tahun 2027, pihak MSN sudah mengangkat permohonan kepada KBS sebanyak RM500,000 untuk kemudahan prasarana sukan pelayaran."
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) bagi Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Kelima Belas, hari ini.
Perkara tersebut dibangkitkan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Kelaboran YB Mohd Adanan Hassan ketika sesi perbahasan semalam.
Mengulas persiapan atlet negeri menghadapi temasya berkaitan, Zamakhshari memaklumkan bahawa Kelantan kini mempunyai dua jurulatih iaitu seorang jurulatih sepenuh masa dan seorang lagi sambilan bagi melatih 28 atlet sukan pelayaran.
Sementara itu, berhubung cadangan pembangunan kemudahan sukan di Rantau Panjang yang dibangkitkan ADN Gual Periok YB Kamaruzaman Mohamad, beliau berkata cadangan pembinaan padang bola sepak dan gelanggang sukan terbuka di kawasan seluas 1.9 ekar bersebelahan pejabat penggawa Gual Periok kini dalam pertimbangan serta penilaian KBS untuk dimasukkan di bawah Rolling Plan Kedua (RP2), Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) Negeri Kelantan.
"Insya-Allah kita doakan agar permohonan ini dapat dipertimbangkan dan semoga warga Rantau Panjang, khususnya warga Gual Periok, akan mendapat kemudahan fasiliti sukan tersebut," jelasnya.








