Percepatkan pembangunan logistik ECRL ke Rantau Panjang - YB Saizol
-
01 November 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
58
KOTA DARULNAIM, 1 November – Kerajaan Kelantan disaran agar mendesak keperluan mempercepatkan pembangunan kemudahan logistik dan terminal kargo bersepadu susulan kelulusan cadangan sambungan jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Kota Bharu ke Rantau Panjang bagi memperkukuh sektor perdagangan dan eksport negeri.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Salor YB Mohd Saizol Ismail berkata, penyediaan infrastruktur sokongan itu penting bagi membolehkan Kelantan memanfaatkan kedudukan strategiknya sebagai pintu perdagangan dengan negara jiran serta mengurangkan kekangan logistik yang dihadapi pengusaha tempatan.
Beliau berkata demikian ketika membahas Belanjawan pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15 Tahun 2026, hari ini.
Menurutnya, sebelum ini pelbagai barangan keluaran tempatan termasuk produk Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) negeri terpaksa menggunakan kemudahan ICQS Bukit Kayu Hitam di Kedah bagi tujuan eksport.
Justeru, pembangunan terminal kargo dan kawasan komersial sempadan di Kelantan perlu diberi perhatian supaya urusan penghantaran barangan dapat dilaksanakan dengan lebih mudah, sekali gus mengurangkan kos pengangkutan serta masa perjalanan.
“Dengan adanya kemudahan logistik dan terminal kargo sendiri di sempadan Kelantan, kos pengangkutan dan masa penghantaran barangan dapat dikurangkan, sekali gus meningkatkan daya saing produk keluaran negeri di pasaran antarabangsa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa pengintegrasian kemudahan ECRL, jaringan lebuh raya dan terminal kargo berpotensi membuka koridor perdagangan baharu yang menghubungkan Kelantan dengan pasaran serantau.
Selain kesiapsiagaan infrastruktur, beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh keupayaan usahawan tempatan, khususnya golongan muda, supaya mampu berdepan perubahan landskap perniagaan dan persaingan daripada rangkaian francais berskala besar.
Sehubungan dengan itu, peruntukan sekitar RM7 juta bagi Dana Belia Niaga dan Skim Mikrokredit yang diumumkan dalam Belanjawan Negeri dilihat sebagai sokongan kepada keperluan modal operasi serta perkembangan perniagaan usahawan muda.
Walau bagaimanapun, beliau berpandangan bantuan kewangan tersebut perlu disertai peningkatan ilmu pengurusan perniagaan, termasuk kesiapsiagaan menghadapi pelaksanaan sistem e-invois serta pematuhan kepada peraturan dan standard perakaunan semasa.
Menurutnya, kejayaan usahawan tempatan seperti Khairul Aming yang membangunkan perniagaan menerusi pasaran digital dan kemudahan pengeluaran moden membuktikan potensi anak Kelantan untuk mengembangkan perniagaan ke tahap lebih berdaya saing.
Dalam aspek pembangunan kawasan perindustrian pula, beliau menyarankan perancangan fizikal seperti di Bandar Baru Tunjong perlu mengambil kira kesesuaian jenis industri dan hubungan operasi antara premis bagi mengelakkan konflik serta ketidakserasian aktiviti perniagaan.
Beliau turut menegaskan bahawa pertumbuhan ekonomi negeri perlu disokong dengan persekitaran perniagaan yang kondusif, selain peningkatan keupayaan usahawan dari segi pengurusan, pematuhan peraturan dan penggunaan teknologi moden.
Kesepaduan antara pemerkasaan usahawan, pembangunan kawasan industri dan kemudahan logistik moden dilihat berpotensi memperkukuh kedudukan Kelantan sebagai hab perdagangan serta destinasi pelaburan di Pantai Timur.








