Accessibility Tools

Skip to main content

Industri halal Kelantan perlu beralih kepada pasaran global - YB Saizol

  • 01 November 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 35

KOTA DARULNAIM, 1 November – Industri halal Kelantan perlu beralih daripada sekadar pemilikan sijil halal kepada penghasilan produk bernilai tambah tinggi yang mampu menembusi pasaran antarabangsa, sekali gus membuka peluang pertumbuhan ekonomi baharu kepada usahawan tempatan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Salor YB Mohd Saizol Ismail berkata, industri halal mempunyai potensi besar untuk dikembangkan sebagai sektor ekonomi berdaya saing, khususnya ketika permintaan global terhadap produk dan perkhidmatan halal terus berkembang.

Beliau berkata demikian ketika membahas Belanjawan pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15 Tahun 2026, hari ini.

Menurutnya, penubuhan Majlis Pembangunan Industri Halal Kelantan yang kini genap setahun perlu disusuli penilaian terhadap pencapaian, inisiatif strategik dan peluang ekonomi yang berjaya diwujudkan sepanjang tempoh tersebut.

Jelasnya, pembangunan industri halal tidak seharusnya terhad kepada peningkatan permohonan dan pemilikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia, sebaliknya perlu menjadi pemangkin kepada pengembangan perniagaan serta penerokaan pasaran lebih luas.

“Usahawan tempatan perlu melihat industri halal sebagai peluang perniagaan yang mampu menjana pendapatan bernilai tinggi, bukan sekadar memenuhi keperluan mendapatkan sijil halal,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Majlis Pembangunan Industri Halal Negeri Kelantan disaran mempergiat usaha kesedaran, bimbingan teknikal, penyediaan akses pembiayaan dan pembinaan jaringan pemasaran bagi membantu produk tempatan bersaing di pasaran lebih luas.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menegaskan kepentingan memperkukuh sektor pertanian yang menjadi sumber ekonomi utama masyarakat luar bandar, khususnya menerusi penyediaan sistem pengairan dan saliran sawah yang lebih cekap.

Menurutnya, kerjasama antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan dalam penambahbaikan infrastruktur pertanian telah membantu memastikan bekalan air ke kawasan penanaman padi dapat disalurkan secara lebih teratur mengikut keperluan pesawah.

Bagaimanapun, perhatian khusus perlu diberikan kepada kemudahan pertanian di kawasan DUN Salor, termasuk takungan tali air di Tiang Cengkering yang dilaporkan mengalami kerosakan serius dan memerlukan tindakan pembaikan segera.

Kerosakan struktur berkenaan berisiko menjejaskan kelancaran aliran air ke kawasan sawah sekitar sekiranya tidak diselenggara, sekali gus boleh mengganggu aktiviti penanaman padi serta pendapatan pesawah.

Justeru, pemantauan dan tindakan pembaikan perlu dipergiat bagi memastikan kemudahan pengairan berfungsi dengan baik serta kelangsungan aktiviti pertanian penduduk setempat terus terpelihara.

Tambahnya, pemerkasaan sektor pertanian turut penting dalam menyokong agenda keterjaminan makanan negeri dan negara, khususnya menerusi peningkatan hasil pengeluaran padi serta penggunaan teknologi pertanian yang lebih moden dan cekap.

Pautan berjaya disalin!