Accessibility Tools

Skip to main content

Pembangunan luar terminal LTSIP perlu seiring kemodenan semasa - YB Nik Bahrum

  • 01 November 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 47

KOTA DARULNAIM, 1 November – Pembangunan kawasan di luar Terminal Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), khususnya laluan menghala ke Sabak, perlu diberikan perhatian supaya imej persekitaran pintu masuk utama Kelantan seiring dengan kemodenan semasa.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Chempaka YB Nik Bahrum Nik Abdullah berkata, penambahbaikan kawasan berkenaan penting memandangkan LTSIP kini mempunyai kapasiti meningkat daripada 1.5 juta kepada empat juta penumpang setahun.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Negeri Kelantan 2027 pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15 Tahun 2026, hari ini.

Menurutnya, potensi LTSIP sebagai pintu masuk antarabangsa ke Kelantan turut ditunjukkan melalui rekod 22,806 pergerakan penumpang antarabangsa bermula Januari 2026 berdasarkan jawapan bertulis Exco Pelancongan terhadap soalannya.

"Namun, kita sudah mempunyai terminal lapangan terbang yang cantik dan moden; bagaimana pula dengan kawasan di luar terminal?

"Bayangkan pelancong yang baru tiba dari luar negara keluar daripada terminal moden, tetapi suasana di luar terminal tidak seiring dengan pembangunan tersebut," katanya.

Jelasnya, kawasan sepanjang jalan menghala ke Sabak mempunyai deretan kedai makan, kedai runcit, kedai perkakasan dan pelbagai premis perniagaan yang telah lama beroperasi, namun masih memerlukan penambahbaikan dari sudut susun atur, kebersihan, penampilan premis dan landskap.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) telah merancang pembinaan laluan pejalan kaki, penyediaan landskap serta kawasan rekreasi di tapak kedai yang akan dirobohkan.

Menurutnya, MPKB-BRI turut memohon peruntukan RM1 juta daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada Julai 2026 bagi melaksanakan cadangan penambahbaikan berkenaan.

Sehubungan dengan itu, beliau meminta kerajaan negeri menjelaskan status permohonan tersebut, jangkaan permulaan kerja penambahbaikan serta perancangan alternatif sekiranya peruntukan berkenaan tidak diluluskan.

Beliau turut meminta penjelasan mengenai sejauh mana perancangan perubahan premis mengambil kira status tanah kawasan terlibat dan kepentingan peniaga sedia ada yang telah lama mencari rezeki di situ.

"Pada pandangan saya, kita tidak sepatutnya perlu menunggu kelulusan peruntukan RM1 juta untuk memulakan penambahbaikan. MPKB-BRI boleh mengambil langkah awal seperti meningkatkan kebersihan dan menyusun aktiviti perniagaan yang berada di bawah bidang kuasanya," katanya.

Tambahnya, sebarang usaha menyusun semula kawasan berkenaan perlu dilaksanakan secara terancang dengan mengambil kira kepentingan peniaga sedia ada supaya pembangunan yang dilaksanakan tidak menjejaskan sumber pendapatan mereka.

Beliau berharap pembangunan kawasan luar terminal turut diberikan perhatian seiring kemudahan terminal baharu agar pengalaman pengunjung yang tiba di Kelantan tidak terhenti pada kemodenan bangunan lapangan terbang semata-mata.

Pautan berjaya disalin!