Latihan penjawat awam perlu berasaskan kompetensi, kefahaman undang-undang
-
01 November 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
33
KOTA DARULNAIM, 1 November – Kecekapan jentera pentadbiran negeri perlu diperkukuh melalui latihan berasaskan kompetensi, khususnya kefahaman terhadap undang-undang, bidang kuasa dan fungsi jabatan bagi memastikan pelaksanaan dasar kerajaan lebih berkesan.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Chempaka YB Nik Bahrum Nik Abdullah berkata, kesatuan hala tuju antara pembuat dasar dengan pelaksana dasar penting bagi memastikan setiap jabatan dan agensi bergerak selari dengan matlamat kerajaan negeri.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Negeri Kelantan 2027 pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15 Tahun 2026, hari ini.
Menurutnya, kefahaman terhadap dasar kerajaan sahaja tidak mencukupi sekiranya pegawai yang dipertanggungjawabkan melaksanakannya tidak mempunyai kompetensi dan pengetahuan berkaitan peraturan yang menjadi asas tugas masing-masing.
"Kadangkala, urusan menjadi lambat bukan kerana undang-undang tidak membenarkannya, tetapi kerana pegawai tidak mengetahui bahawa undang-undang sebenarnya memberikan kuasa untuk bertindak.
"Sebaliknya, terdapat juga risiko tindakan melampaui bidang tugas kerana kurangnya kefahaman terhadap undang-undang," katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau menyambut baik penyediaan peruntukan RM3 juta bagi latihan penjawat awam menerusi Belanjawan Negeri 2027, namun berharap pelaksanaannya mengambil kira penilaian keperluan sebenar setiap jabatan.
Jelasnya, aspek kefahaman undang-undang, pengurusan serta kompetensi teknikal perlu diberikan perhatian supaya latihan yang disediakan benar-benar meningkatkan keupayaan pegawai dalam melaksanakan tanggungjawab.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan pendedahan kepada pegawai baharu yang ditempatkan di jabatan dan agensi kerajaan, termasuk pegawai lantikan kontrak serta personel Contract for Service (CFS).
"Pendedahan kepada enakmen, aturan dan bidang kuasa jabatan perlu diberikan sejak awal penempatan supaya mereka memahami tanggungjawab serta had kuasa masing-masing," ujarnya.
Tambahnya, latihan dan penerangan semula juga perlu dilaksanakan apabila berlaku pindaan undang-undang atau perubahan dasar bagi memastikan semua pegawai sentiasa memahami ketetapan terkini.
Beliau turut berpandangan mekanisme penyelarasan antara portfolio, jabatan dan agensi perlu dimanfaatkan sepenuhnya agar dasar kerajaan tidak hanya difahami di peringkat pembuat keputusan, sebaliknya diterjemahkan melalui tindakan yang seragam.
Justeru beliau yakin kecekapan pentadbiran bukan sekadar bergantung kepada dasar yang baik, tetapi turut ditentukan oleh kemampuan pegawai melaksanakan dasar berkenaan secara tepat, teratur dan berlandaskan peruntukan undang-undang.








