Persekutuan-Kelantan digesa sedia dana khas, angkat Stong Geopark ke persada antarabangsa
-
01 November 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
42
KOTA DARULNAIM, 1 November – Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kelantan digesa mewujudkan peruntukan khas secara bersama bagi memperkukuh usaha pemeliharaan, pemuliharaan dan pembangunan Stong Geopark sebagai khazanah geologi negara yang berpotensi diangkat ke persada antarabangsa menerusi pengiktirafan UNESCO Global Geopark.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Balah YB Dato’ Abdul Hadi Awang Kechil berkata, komitmen kewangan kedua-dua pihak amat penting bagi memastikan pembangunan geopark itu dilaksanakan secara terancang dan bersepadu tanpa mengorbankan keaslian warisan geologi, kepelbagaian biologi serta keindahan alam semula jadinya.
Menurutnya, Stong Geopark yang meliputi kawasan seluas 2,131.99 kilometer persegi dan diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan pada 14 November 2022 mempunyai nilai warisan geologi yang signifikan serta potensi besar untuk dimajukan sebagai destinasi geopelancongan bertaraf antarabangsa.
"Lebih 30 peratus kawasan geopark berkenaan terletak dalam Dewan Negeri (DUN) Kuala Balah sekali gus menjadikan pembangunan dan pemeliharaannya berkait rapat dengan kepentingan ekonomi, alam sekitar serta kesejahteraan komuniti setempat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15 Tahun 2026, hari ini.
Dato’ Abdul Hadi juga menjelaskan, keistimewaan Stong Geopark turut terserlah menerusi formasi batuan di Lata Renyuk, Kuala Balah yang menurut maklumat pakar geologi Universiti Malaya (UM) mempunyai bukti saintifik berkaitan proses pembentukan Semenanjung Tanah Melayu sejak jutaan tahun dahulu.
Jelasnya lagi, khazanah geologi yang mempunyai nilai sejarah bumi itu perlu dilindungi daripada ancaman pembangunan tidak terkawal, pencemaran dan kerosakan ekosistem agar terus menjadi sumber ilmu, penyelidikan serta tarikan pelancongan untuk generasi akan datang.
“Kita dah mengejar peluang ekonomi, jangan pula kita mengorbankan alam sekitar yang menjadi asas kepada tarikan Stong Geopark; hutan, sungai dan air terjun merupakan aset yang tidak ternilai,” ujarnya.
Sehubungan dengan itu, beliau mengemukakan empat cadangan utama bagi memperkukuh pembangunan Stong Geopark, dengan keutamaan pertama diberikan kepada kerja menaik taraf dan menyelenggara infrastruktur asas di seluruh kawasan geopelancongan secara berterusan.
Cadangan kedua membabitkan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan warisan geologi bagi memastikan keaslian landskap, kestabilan ekosistem serta kepelbagaian biologi terus terpelihara daripada kesan negatif pembangunan.
Selain itu, beliau mencadangkan supaya potensi geopelancongan diperkasakan melalui penyediaan kemudahan pelancongan yang bersesuaian dan moden bagi meningkatkan daya tarikan pengunjung serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada masyarakat setempat.
Cadangan keempat pula memberi tumpuan kepada pengukuhan promosi melalui penyediaan papan tanda bermaklumat serta penglibatan aktif masyarakat Orang Asli dan penduduk tempatan dalam mengetengahkan kebudayaan, kearifan tempatan dan produk pelancongan berasaskan komuniti.
Menurutnya, penglibatan masyarakat setempat amat penting bagi memastikan manfaat ekonomi daripada pembangunan Stong Geopark dapat dinikmati secara lebih menyeluruh tanpa menjejaskan identiti budaya dan kelestarian alam sekitar.
Beliau turut menekankan keperluan mempertingkat kawalan terhadap pembuangan sampah sarap dan aktiviti pembangunan tidak terkawal yang boleh menjejaskan keindahan landskap serta nilai warisan geologi kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, YB Dato’ Abdul Hadi berpandangan bahawa pembangunan geopark perlu berteraskan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dengan tanggungjawab memelihara alam sekitar supaya khazanah semula jadi yang menjadi tarikan utamanya tidak terhakis akibat kegiatan pelancongan.
Justeru, penyediaan dana khas melalui kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dilihat sebagai langkah penting untuk memperkukuh pengurusan, pembangunan kemudahan, pemuliharaan geotapak serta promosi Stong Geopark secara lebih sistematik.
Usaha bersepadu itu diharap dapat menyokong aspirasi Kerajaan Negeri Kelantan untuk memperoleh pengiktirafan UNESCO Global Geopark sekali gus memperkenalkan keunikan warisan geologi dan khazanah alam semula jadi Kelantan kepada masyarakat antarabangsa.








