Empat sekolah YIK ungguli pertandingan inovasi peringkat antarabangsa
-
01 November 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
31
KOTA DARULNAIM, 1 November - Empat buah sekolah di bawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) mencatat pencapaian membanggakan dalam bidang inovasi apabila berjaya mengungguli pelbagai anugerah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Sekolah terbabit ialah Maahad Tahfiz Sains Bustanul Arifin (MTSBA), Maahad Sains Tok Guru (MSTG), Maahad Muhammadi Perempuan Kota Bharu dan Sekolah Menengah Ugama Arab (SMUA) Diniah Bongor.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat berkata, pencapaian tersebut membuktikan keupayaan pelajar sekolah YIK mengaplikasikan pendekatan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta kecerdasan buatan (AI) dalam menghasilkan produk inovasi yang mempunyai nilai praktikal.
Katanya, pada 28 Oktober lalu, Maahad Tahfiz Sains Bustanul Arifin (MTSBA) berjaya meraih pingat emas dan anugerah Best Presentation menerusi penyertaan dalam I-CREATE International STEMpreneur and Edu Tech Innovation Challenge 2026 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
"Kejayaan itu diraih menerusi penghasilan kotak pintar pembersih kasut yang berupaya membasuh kasut, membunuh kuman dan menghasilkan bau harum.
"Mereka juga turut menghasilkan jemuran pintar (smart hanger) yang membolehkan pakaian dikeringkan secara automatik apabila diletakkan di dalam kotak khas."
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Paloh YB Dato’ Shaari Mat Hussain yang bertanyakan tentang pencapaian terkini pelajar Yayasan Islam Kelantan (YIK) dalam bidang inovasi dan penyelidikan pada Persidangan Kali Yang Ketiga (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Kempat Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15 tahun 2026, hari ini.
Sementara itu, kata Dato' Wan Roslan juga memaklumkan bahawa pelajar Maahad Sains Tok Guru (MSTG) di Pengkalan Chepa pula menghasilkan produk TnC ACNE SERUM menerusi program Mini Teater STEM yang turut menyertai beberapa pertandingan inovasi.
Antara pencapaian membanggakan produk berkenaan ialah memenangi geran perniagaan berjumlah RM3,500 menerusi Biofunder Challenge PMBK 2025.
Produk itu turut meraih anugerah emas pada Festival of Idea UMK Bachok, iaitu Karnival STEM Kebangsaan 2025, selain menerima STEM Visionary Award pada International Conference on Business Innovation STEM di Madinah, Arab Saudi, pada 2025.
"Lebih membanggakan, TnC ACNE SERUM kini sudah mula dipasarkan menerusi jualan secara langsung di ekspo dan promosi melalui platform media sosial, khususnya TikTok," katanya.
Selain itu, pelajar MSTG turut menghasilkan AI-IRIS yang menyertai Karnival Robotik dan Inovasi 2025 di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji, dan berjaya memperoleh anugerah emas.
Inovasi itu kemudian menyertai Malaysia Technology Expo 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dan memperoleh anugerah perak.
Tambahnya, Sekolah Menengah Ugama Arab (SMUA) Diniah Bongor pula menghasilkan inovasi sistem penyejuk bumbung dan penuaian air hujan yang menggabungkan teknologi penyejukan serta pengumpulan air hujan.
Produk berkenaan meraih pingat emas dalam International Innovation Competition 2026 dan International Innovation, Invention and Design Competition (HYPERATE MoD) 2026.
Inovasi itu turut menyertai Visual Innovation Competition International 2026 dan memperoleh pingat.
Sementara itu, Maahad Muhammadi Perempuan Kota Bharu menghasilkan inovasi protek-j yang berjaya meraih anugerah emas pada Karnival Robotik dan Inovasi 2025 di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji.
Produk berkenaan sekali lagi memperoleh anugerah emas menerusi penyertaan dalam Malaysia Technology Expo 2026 di WTCKL.
Dato' Wan Roslan mengucapkan tahniah kepada pelajar-pelajar dan guru-guru pembimbing yang dapat membimbing pelajar pelajar dalam inovasi ini sehingga mencapai pencapaian yang terbaik di peringkat negeri, kebangsaan dan juga antarabangsa.
Katanya lagi, kerajaan negeri sentiasa terbuka untuk membantu mengetengahkan hasil inovasi terbaik pelajar YIK melalui agensi atau syarikat yang berminat untuk mengembangkan produk berkenaan secara komersial.
"Kerajaan negeri bersedia memberikan kerjasama bagi memastikan hasil inovasi pelajar dapat dimanfaatkan bersama," ujarnya.








