Accessibility Tools

Skip to main content

Manfaatkan kepakaran anak Kelantan di perantauan -YB Saizol

  • 01 November 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 36

KOTA DARULNAIM, 1 November – Jaringan profesional anak Kelantan di perantauan perlu dimanfaatkan secara strategik bagi membawa pulang kepakaran, pelaburan, peluang pekerjaan dan nilai ekonomi baharu sekali gus memperkukuh pembangunan industri serta meningkatkan daya saing Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) negeri.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Salor YB Saizol Ismail berkata, anak Kelantan yang berjaya dalam pelbagai sektor profesional di luar negeri bukan sekadar penyumbang kepakaran tetapi merupakan aset strategik yang berpotensi menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri.

Menurutnya, jaringan profesional berkenaan perlu dibangunkan secara lebih tersusun supaya pengalaman korporat, kepakaran teknikal dan hubungan industri yang dimiliki anak perantauan dapat diterjemahkan kepada peluang pelaburan serta pembangunan ekonomi yang memberi manfaat langsung kepada rakyat Kelantan.

“Anak Kelantan di perantauan bukan sekadar penyumbang kepakaran, tetapi aset strategik yang mampu membawa pulang pelaburan, peluang pekerjaan dan nilai ekonomi baharu kepada negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15 Tahun 2026, hari ini.

YB Saizol menegaskan, Kelantan mempunyai ramai anak perantauan berkemahiran tinggi yang memegang jawatan penting dalam bidang kejuruteraan, teknologi maklumat, perbankan, kewangan, perubatan dan pengurusan korporat di syarikat terkemuka negara.

Justeru, beliau mencadangkan supaya diwujudkan jaringan profesional yang berfungsi bukan sekadar sebagai platform pertemuan sosial tetapi menjadi wadah perkongsian kepakaran, khidmat nasihat strategik, pemindahan pengetahuan dan penerokaan peluang pelaburan.

“Jaringan ini perlu dibentuk sebagai platform strategik yang membolehkan anak Kelantan di perantauan menyumbang kepakaran dan pengalaman mereka secara langsung kepada pembangunan negeri,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya penglibatan golongan profesional berkenaan diperluas dalam GLC negeri bagi membawa masuk pengalaman pengurusan korporat, perspektif antarabangsa dan jaringan industri yang dapat membantu meningkatkan kecekapan tadbir urus serta prestasi syarikat milik kerajaan negeri.

Menurutnya, pemanfaatan kepakaran tersebut berpotensi memperkukuh keupayaan GLC meneroka sektor ekonomi baharu, meningkatkan produktiviti dan mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat tempatan.

Dalam perkembangan berkaitan, YB Saizol turut menyarankan supaya Kerajaan Negeri meneroka konsep 'Bekerja di Luar, Menetap di Kelantan' sebagai pendekatan baharu untuk menarik golongan profesional muda dan tenaga kerja produktif kembali menetap di negeri ini.

Katanya, konsep bekerja dari jauh atau 'work remotely, live in Kelantan' membolehkan anak Kelantan terus berkhidmat dengan majikan berskala besar di luar negeri tanpa perlu berpindah dari negeri kelahiran mereka.

Pendekatan itu juga berpotensi meningkatkan perbelanjaan domestik, merancakkan sektor peruncitan dan perkhidmatan serta memperluas aktiviti ekonomi setempat melalui kehadiran golongan profesional berpendapatan tinggi.

Sehubungan dengan itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan negeri mempertimbangkan insentif bersesuaian mengikut bidang kuasa negeri bagi menggalakkan lebih ramai anak perantauan kembali menetap di Kelantan tanpa menjejaskan perkembangan kerjaya masing-masing.

Menurutnya lagi, usaha menarik kembali golongan usia produktif semakin penting memandangkan Kelantan telah mencapai status negeri menua pada 2024 apabila penduduk berumur 65 tahun ke atas melebihi tujuh peratus daripada keseluruhan penduduk.

Beliau menjelaskan, perkembangan demografi tersebut menuntut perancangan pembangunan modal insan yang lebih proaktif bagi memastikan negeri terus mempunyai tenaga kerja mahir, produktif dan berdaya saing untuk menyokong pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

Mengulas prestasi ekonomi Kelantan, beliau memaklumkan, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri meningkat kepada RM29.8 bilion pada 2025 berbanding RM28.6 bilion pada tahun sebelumnya, manakala kadar pertumbuhan ekonomi turut meningkat daripada 3.3 peratus kepada 4.1 peratus.

Walau bagaimanapun, katanya, pencapaian pertumbuhan ekonomi perlu diterjemahkan kepada manfaat yang lebih menyeluruh, khususnya peningkatan pendapatan isi rumah, pewujudan pekerjaan berkualiti dan pengukuhan kuasa beli rakyat.

“Pertumbuhan ekonomi yang dicapai perlu diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan isi rumah, pembukaan peluang pekerjaan berkualiti serta pemantapan ekonomi negeri supaya manfaatnya dapat dirasai oleh seluruh rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh pembangunan modal insan melalui tiga kelompok utama, iaitu tenaga kerja, usahawan serta tenaga mahir dan profesional sebagai asas membina ekosistem ekonomi negeri yang lebih dinamik.

Tambahnya, usaha tersebut perlu disokong dengan penerokaan sektor baharu berasaskan teknologi dan perkhidmatan moden yang mampu menawarkan pekerjaan berkemahiran tinggi serta pendapatan lebih baik kepada golongan belia.

Pada masa sama, perhatian perlu diberikan kepada cabaran kos sara hidup, akses pembiayaan dan kemampuan memiliki rumah pertama bagi memastikan golongan muda mempunyai asas ekonomi yang lebih kukuh untuk membina kehidupan di Kelantan.

Pautan berjaya disalin!