Accessibility Tools

Skip to main content

Enam pencapaian projek bersepadu bekalan air - Dato' Dr. Izani

  • 01 November 2026
  • Oleh: Norzana Razaly
  • 48

KOTA DARULNAIM, 1 November – Kerajaan Negeri Kelantan menggariskan enam pencapaian dan inisiatif utama bagi memperkukuh infrastruktur bekalan air menerusi pelaksanaan projek bersepadu yang merangkumi pembinaan tangki simpanan, peningkatan kapasiti loji rawatan air (LRA), pemulihan sistem rawatan serta pembangunan kemudahan baharu di beberapa jajahan.

Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar YB Dato’ Dr. Izani Husin berkata, pelaksanaan inisiatif berkenaan melibatkan peruntukan dan cadangan pembiayaan berjumlah RM48.43 juta bagi empat komponen utama, selain projek pembangunan serta penambahbaikan bekalan air di beberapa jajahan.

Menurutnya, antara inisiatif utama ialah pembiayaan RM30 juta melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi pembinaan tangki Bukit Merbau serta kerja menaik taraf sistem pam berkaitan untuk meningkatkan keupayaan penyimpanan dan pengagihan bekalan air.

"Selain itu, sebanyak RM11 juta diperuntukkan bagi menaik taraf sistem rawatan LRA Merbau Chondong yang akan meningkatkan kapasiti pengeluaran air daripada 45 juta liter kepada 70 juta liter sehari," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Pasir Tumboh YB Dato’ Abdul Rahman Yunus berhubung pencapaian usaha kerajaan negeri dalam meningkatkan kualiti dan bekalan air kepada rakyat pada Persidangan Dewan Negeri Kelantan bagi pembentangan Belanjawan, hari ini.

Dato’ Dr Izani menjelaskan, kerajaan negeri turut merancang kerja membaik pulih sistem rawatan di lapan LRA sedia ada dengan cadangan pembiayaan sebanyak RM4 juta melalui Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Tambahnya, sebanyak RM3.43 juta lagi melibatkan kerja membaik pulih struktur di 11 LRA di seluruh Kelantan yang turut dibiayai melalui PAAB.

Beliau memaklumkan, kedua-dua komponen pemulihan itu penting bagi memperkukuh keupayaan operasi infrastruktur rawatan air sedia ada, di samping menyokong usaha meningkatkan kualiti dan kesinambungan bekalan kepada pengguna.

Mengulas perancangan pembangunan seterusnya, beliau menjelaskan, projek pembangunan bekalan air di tiga jajahan, iaitu Kuala Krai, Gua Musang dan Tanah Merah kini berada pada peringkat perancangan, perundingan dan tender.

Katanya, pelaksanaan projek berkenaan merupakan sebahagian daripada pendekatan bersepadu kerajaan Negeri untuk memperluas liputan infrastruktur bekalan air serta menangani keperluan pengguna mengikut kawasan.

Dalam perkembangan berkaitan, Dato’ Dr Izani juga memaklumkan bahawa beberapa projek penambahbaikan bekalan air di Bachok, Tanah Merah dan Gua Musang telah berjaya disiapkan.

Pautan berjaya disalin!