Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan mantapkan modul, perluas penghayatan dan audit keberkesanan UMI

  • 01 November 2026
  • Oleh: Norzana Razaly
  • 31

KOTA DARULNAIM, 1 November - Kerajaan Negeri Kelantan memperkukuh pelaksanaan teras Ubudiyyah, Mas’uliyyah dan Itqan (UMI) melalui pemantapan modul latihan, peluasan program penghayatan serta pelaksanaan pengauditan bagi menilai keberkesanannya dalam kalangan pemimpin, penjawat awam dan masyarakat.

Pendekatan itu bertujuan memastikan prinsip UMI menjadi asas pentadbiran negeri dan diterjemahkan secara menyeluruh dalam pelaksanaan tanggungjawab kepimpinan, penyampaian perkhidmatan awam dan kehidupan seharian masyarakat selaras dengan strategi Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI).

Sehubungan dengan itu, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata, usaha berkenaan diperkasakan menerusi pelaksanaan program penyegaran UMI yang telah dirasmikan pada Mei 2026 bagi memberikan nafas baharu kepada modul sedia ada supaya kekal relevan dengan keperluan dan cabaran semasa.

Menurutnya, penambahbaikan modul itu memberi penekanan terhadap penerapan nilai pengabdian kepada Allah SWT (Ubudiyyah), kebertanggungjawaban (Mas’uliyyah) dan kecemerlangan dalam pelaksanaan tugas (Itqan) agar dapat dihayati serta diamalkan secara berterusan oleh semua lapisan masyarakat.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Pengkalan Pasir YB Mohamad Nasriff Daud Yatimee berhubung langkah kerajaan memastikan keberkesanan penghayatan PMBI dalam kalangan kepimpinan negeri, wakil rakyat, penjawat awam, agensi kerajaan dan masyarakat umum pada Persidangan Dewan Negeri Kelantan sempena pembentangan Belanjawan 2027, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, YB Mohd Asri memaklumkan, usaha memperkukuh penghayatan PMBI turut digerakkan melalui penglibatan aktif ADN, jabatan dan agensi kerajaan negeri dengan pendekatan yang disesuaikan mengikut kumpulan sasaran.

Katanya, sebanyak lima siri program pemantapan PMBI telah dilaksanakan oleh Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) sepanjang 2025 hingga 2026 bagi memperkukuh kefahaman dan penghayatan prinsip tersebut dalam kalangan wakil rakyat.

"Pada peringkat masyarakat pula, Institut Pemikiran Tok Guru Dato’ Bentara Setia (IPTG) dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) melaksanakan penambahbaikan modul penghayatan yang disampaikan melalui masjid di setiap kawasan Dewan Negeri (DUN).

"Pegawai agama jajahan turut memainkan peranan menyampaikan pengisian berteraskan UMI pada peringkat jajahan bagi memperluas kefahaman masyarakat terhadap nilai yang mendasari dasar Membangun Bersama Islam," jelasnya.

Dalam aspek pemantauan dan penilaian, beliau memaklumkan, pengauditan UMI dilaksanakan oleh Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK).

Tambahnya, pengauditan tersebut bertujuan menilai tahap pelaksanaan dan penghayatan UMI di samping mengenal pasti kelemahan serta ruang penambahbaikan bagi meningkatkan keberkesanan program yang dijalankan.

"Kerajaan negeri juga akan mempertimbangkan pembangunan aplikasi khusus bagi menilai pencapaian pelaksanaan program UMI secara lebih sistematik," ujarnya.

Pautan berjaya disalin!