YIK, Tuisyen Rakyat perlu terus diperkasa bantu golongan memerlukan – Dato’ Abdul Rahman
-
01 November 2026
-
Oleh: Syamimi Manah
-
35
KOTA DARULNAIM, 1 November – Peranan Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan pelaksanaan Program Tuisyen Rakyat Sejahtera Kelantan perlu terus diperkasa bagi memastikan golongan kurang berkemampuan mendapat peluang pendidikan berkualiti, sekali gus membantu memutuskan rantaian kemiskinan.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Pasir Tumboh YB Dato’ Abdul Rahman Yunus berkata, pendidikan merupakan antara aspek penting dalam agenda Kelantan Prihatin kerana mampu membuka peluang kepada anak-anak daripada keluarga miskin untuk meningkatkan taraf kehidupan.
“Pendidikan memutuskan rantaian kemiskinan, kediaman selamat menjamin kesejahteraan,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Negeri Kelantan 2027 pada persidangan Dewan Negeri (DUN) Kelantan, hari ini.
Menurutnya, sebanyak RM132 juta diperuntukkan kepada YIK, manakala RM4 juta disediakan untuk Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) bagi menyokong pembangunan pendidikan Islam di negeri ini.
Beliau menegaskan, pelaksanaan Program Tuisyen Rakyat juga perlu diteruskan bagi membantu pelajar daripada keluarga miskin tetapi mempunyai potensi akademik meningkatkan pencapaian dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Kalau kita cari pelajar-pelajar yang miskin tetapi pintar, yang miskin tetapi dia boleh lonjak lagi, kita beri sahaja tuisyen dengan mata pelajaran teras untuk dapat keputusan dalam SPM, kita rasa dia boleh,” jelasnya.
Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap pendekatan berkenaan selepas melihat penjelasan mengenai pelaksanaan program itu serta pencapaian pelajar YIK.
Dalam masa sama, Presiden Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan (BBC) itu turut menegaskan pembinaan rumah baharu dan kerja pembaikan kediaman golongan memerlukan perlu dilaksanakan secara bersasar, berkualiti serta mengikut jadual.
Katanya lagi, agenda Kelantan Prihatin juga perlu memastikan bantuan kebajikan dan pembangunan diagihkan secara adil, inklusif serta berdasarkan keperluan rakyat tanpa mengira kawasan mahupun perbezaan fahaman politik.
Mengulas pembangunan ekonomi negeri, Dato' Abdul Rahman mencadangkan Gua Musang diperkasa sebagai hab ekonomi manakala Tunjong dijadikan pusat pertumbuhan strategik.
“Gua Musang dan Tunjong berpotensi sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi baharu. Gua Musang Merupakan kawasan yang mempunyai kepentingan besar dalam pembangunan ekonomi Kelantan ,” katanya.
Menurutnya, pembangunan infrastruktur termasuk Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra perlu dimanfaatkan bagi membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat.
Beliau turut mencadangkan institusi pondok diperkasa sebagai hab pelancongan pendidikan Islam yang mampu menarik kedatangan masyarakat luar Kelantan.
“Kalau ada pakej satu hari, dua hari, seminggu, pelancong akan datang untuk belajar di sana ataupun dalam musim cuti,” ujarnya.
Dalam aspek kebajikan pula, beliau menegaskan kepentingan memastikan setiap peruntukan dan bantuan kerajaan sampai kepada golongan sasaran secara adil dan menyeluruh.
Beliau juga merakamkan ucapan tahniah kepada Menteri Besar Kelantan atas pembentangan Belanjawan Negeri 2027 yang memberikan penekanan kepada kebajikan rakyat, pendidikan, pembangunan ekonomi dan kesejahteraan negeri.








