Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan perkasa potensi diri penerima bantuan

  • 01 November 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 32

KOTA DARULNAIM, 1 November – Kerajaan Negeri Kelantan memberi penekanan kepada pembangunan potensi diri dan peningkatan taraf hidup penerima bantuan kebajikan, termasuk peserta Skim Al-It’am, menerusi pendekatan pembangunan insan dan pemerkasaan ekonomi bagi membantu mereka keluar daripada kepompong kemiskinan serta membina kehidupan yang lebih berdikari.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, usaha membela kebajikan rakyat tidak hanya tertumpu kepada penyediaan bantuan keperluan asas, sebaliknya turut merangkumi pembinaan jati diri, peningkatan kemahiran dan penyediaan peluang ekonomi bagi menjamin kesejahteraan hidup penerima dalam jangka panjang.

Menurutnya, kerajaan negeri menggerakkan tiga pendekatan utama, iaitu kebajikan, pembangunan insan dan pemerkasaan ekonomi secara bersepadu dengan penglibatan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri (ADN) Jelawat YB Zameri Mat Nawang pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15 Tahun 2026, hari ini.

Dato’ Tuan Mohd Saripudin menjelaskan, pelaksanaan Skim Al-It’am menyediakan bantuan barangan keperluan asas seperti beras, minyak dan gula, serta turut dilengkapi program pembangunan insan bagi memperkukuh ketahanan diri, kerohanian serta kesejahteraan keluarga penerima.

“Dalam skim ini, kita bukan sahaja memberikan bantuan makanan, tetapi turut mengadakan pertemuan secara berkala bagi memperkukuh jati diri penerima melalui pengisian seperti kuliah agama, ceramah serta nasihat membina daripada pemimpin dan golongan asatizah,” jelasnya.

Dalam aspek pemerkasaan ekonomi, beliau berkata, kerajaan negeri turut menyediakan bantuan perniagaan dan menggalakkan penerima menceburi bidang pertanian, penternakan serta perikanan sebagai antara usaha membuka peluang menjana pendapatan sendiri.

Katanya, inisiatif berkenaan diperkukuh menerusi penyediaan bantuan modal, latihan dan bengkel kemahiran bagi membolehkan penerima membangunkan keupayaan serta memanfaatkan potensi ekonomi mengikut kesesuaian masing-masing.

Beliau juga menjelaskan, pendekatan bersepadu itu penting bagi memastikan bantuan kebajikan berperanan sebagai pemangkin kepada perubahan sosioekonomi penerima.

Pautan berjaya disalin!