Pemimpin Kelantan-Persekutuan perkukuh persefahaman demi kepentingan rakyat
-
01 November 2026
-
Oleh: Norzana Razaly | Kredit foto: Unit Media Menteri Besar
-
27
KOTA DARULNAIM, 1 November – Pertemuan dan kebersamaan antara kepimpinan Kerajaan Negeri Kelantan dengan Kerajaan Persekutuan mencerminkan semangat saling menghormati, memperkukuh persefahaman serta membuka ruang kerjasama yang lebih luas demi kepentingan negeri dan negara tanpa dibatasi perbezaan fahaman politik.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud menegaskan bahawa kematangan berpolitik dan kebijaksanaan mentadbir menuntut semua pihak mengutamakan kepentingan rakyat mengatasi perbezaan kepartian.
Sehubungan itu, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim atas kesudian berkunjung ke Kelantan serta meluangkan masa bersama kepimpinan kerajaan negeri dalam Program Sebarkan Salam@Kota Bharu Berselawat dan beberapa acara sepanjang lawatan sehari, pada Sabtu.
"Pertemuan dan kebersamaan ini mencerminkan semangat saling menghormati, memperkukuh persefahaman serta membuka ruang kerjasama yang lebih luas demi kepentingan negeri dan negara.
"Dalam kematangan berpolitik dan kebijaksanaan mentadbir, perbezaan warna kepartian tidak seharusnya menjadi tembok yang memisahkan usaha membawa kebaikan kepada rakyat," katanya menerusi media sosial, hari ini.
Menurutnya, hubungan baik yang terjalin antara kepimpinan kedua-dua peringkat kerajaan diharapkan dapat diterjemahkan kepada manfaat nyata, kemajuan berterusan dan kesejahteraan seluruh rakyat Kelantan.
Pendekatan tersebut turut memperlihatkan kepentingan membezakan persaingan politik dengan tanggungjawab pentadbiran yang menuntut kerjasama dalam memenuhi keperluan serta menjaga kebajikan rakyat.
Beliau turut mengingatkan bahawa perbezaan pandangan politik tidak seharusnya mengatasi amanah kepimpinan untuk memastikan kepentingan rakyat sentiasa diberikan keutamaan.
"Politik ada gelanggangnya, pentadbiran ada amanahnya. Kepentingan rakyat mesti sentiasa mengatasi segala perbezaan," tegasnya.
Beliau turut mendoakan agar segala usaha dan ikhtiar bersama antara Kerajaan Negeri Kelantan dengan Kerajaan Persekutuan mendapat keberkatan Allah SWT serta membawa kebaikan kepada negeri dan negara.










