Kerajaan Kelantan sasar naik taraf 10 peratus usahawan mikro kepada IKS
-
01 November 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
35
KOTA DARULNAIM, 1 November - Kerajaan Kelantan menyasarkan 10 peratus usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) kategori mikro dinaik taraf kepada usahawan IKS yang lebih berdaya saing bagi meningkatkan jualan, menembusi pasaran luar Kelantan serta mewujudkan peluang pekerjaan.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan YB Mejar (B) Dato' Md Anizam Ab Rahman berkata, beberapa pendekatan dikenal pasti bagi membantu usahawan mikro mengembangkan perniagaan ke tahap lebih tinggi.
Katanya, antara langkah yang dilaksanakan termasuk menawarkan geran, pinjaman dan insentif pembiayaan kepada usahawan selain menggalakkan peralihan teknologi pembuatan daripada kaedah tradisional kepada teknologi moden berasaskan digital.
"Selain itu, kerajaan turut memberi tumpuan kepada usaha memperkasakan jenama produk tempatan, menggalakkan penyertaan usahawan dalam ekspo atau pameran di dalam dan luar negara serta menyediakan anugerah dan pengiktirafan kepada pemain industri. Itulah antara usaha kerajaan untuk memajukan IKS di Kelantan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Balah YB Dato' Abdul Hadi Awang Kechil mengenai pendekatan baharu kerajaan negeri dalam menaik taraf usahawan mikro kepada usahawan kecil dan sederhana di Persidangan Kali Yang Ketiga (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Kempat Dewan Negrri Kelantan Yang Ke-15 tahun 2026, hari ini.
Menjawab soalan tambahan mengenai insentif khusus bagi menyediakan kemudahan kepada usahawan mikro, Dato' Md Anizam berkata, kerajaan negeri turut mengadakan perbincangan dengan beberapa institusi kewangan bagi membantu menyediakan akses pembiayaan.
Antaranya termasuk Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi program iTEKAD, selain institusi kewangan lain seperti SME Bank dan MIDF.
Menurutnya lagi, kerajaan negeri juga menyediakan kemudahan pembiayaan bagi membantu usahawan menyertai pameran di luar Kelantan dan peringkat antarabangsa, termasuk kos penginapan serta yuran penyertaan.
Beliau mengambil contoh produk Chef Ustazah yang menurutnya hampir 100 peratus produk dikeluarkan hasil penyertaan dalam pameran di luar negara.
Tambahnya, kerajaan negeri turut mengadakan perbincangan dengan pihak Celcom dan beberapa pihak lain bagi mendapatkan insentif tertentu untuk membantu usahawan IKS.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan ADN Tawang YB Harun Ismail mengenai strategi kerajaan negeri membangunkan jaringan pengedaran fizikal dan digital, Dato' Md Anizam berkata, kerajaan negeri mengadakan perbincangan dengan syarikat pengedaran dalam talian yang berminat untuk melabur di Kelantan.
Beliau berkata, J&T antara syarikat pengurusan dan pengedaran yang beroperasi di Pengkalan Chepa serta menyediakan perkhidmatan pengedaran di seluruh Kelantan.
Selain itu, katanya, kerjasama dengan penyedia perkhidmatan seperti Celcom dan TM turut diberi perhatian bagi meningkatkan kecekapan kapasiti capaian Internet.
"Kerajaan negeri juga mengadakan kursus kemahiran berkaitan penggunaan kaedah pemasaran terkini bagi membantu usahawan memanfaatkan platform digital dalam mengembangkan perniagaan masing-masing," jelasnya.








