Enam syarat kelayakan penerima Skim Al-It’am
-
01 November 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
34
KOTA DARULNAIM, 1 November – Kerajaan Negeri Kelantan menetapkan enam syarat kelayakan bagi memastikan bantuan Skim Al-It’am disalurkan kepada golongan miskin dan kurang berkemampuan yang benar-benar memerlukan.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, antara syarat utama ialah pemohon mestilah warganegara Malaysia dan bermastautin di negeri Kelantan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Jelawat YB Zameri Mat Nawang, pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15 Tahun 2026, hari ini.
Menurutnya, pemohon juga perlu tergolong dalam kalangan isi rumah miskin atau kurang berkemampuan serta mempunyai pendapatan yang rendah dan tidak mencukupi untuk menampung keperluan asas keluarga.
Keutamaan turut diberikan kepada golongan yang memerlukan, termasuk warga emas, ibu atau bapa tunggal, orang kurang upaya (OKU), individu yang tidak berkeupayaan bekerja serta keluarga yang mempunyai tanggungan ramai.
Selain memenuhi kriteria berkenaan, maklumat setiap pemohon hendaklah disahkan oleh pihak berkuasa berkaitan di peringkat jajahan atau komuniti.
Permohonan juga tertakluk kepada proses tapisan, pengesahan kelayakan dan ketetapan semasa kerajaan negeri bagi memastikan bantuan diberikan kepada penerima yang menepati syarat.
Dalam perkembangan berkaitan, Skim Al-It’am yang diperkenalkan sejak tahun 2011 telah memberi manfaat kepada 179,720 orang sehingga Jun 2026, dengan jumlah perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM76,988,661.43.
Bagi tahun ini, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM7.7 juta untuk pelaksanaan skim berkenaan yang memberi manfaat kepada 13,620 penerima.








