179,720 penerima Skim Al-It'am, Kelantan belanja hampir RM77 juta sejak 2011
-
01 November 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
31
KOTA DARULNAIM, 1 November – Sejak diperkenalkan pada tahun 2011 sebanyak 179,720 penerima Skim Al-It’am menikmati manfaatnya yang melibatkan perbelanjaan keseluruhan mencecah RM76.98 juta sehingga Ogos 2026.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, skim kebajikan itu terus diperkasa bagi membantu golongan miskin dan kurang berkemampuan mendapatkan keperluan asas keluarga.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Jelawat, YB Zameri Mat Nawang, pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15 Tahun 2026, hari ini.
Menurutnya, kerajaan negeri memperuntukkan RM7.7 juta bagi pelaksanaan skim berkenaan pada 2026 dengan jumlah penerima seramai 13,620 orang setiap bulan.
Pelaksanaan skim itu menunjukkan peningkatan ketara apabila jumlah penerima yang pada peringkat awalnya ditetapkan seramai 100 orang bagi setiap kawasan Dewan Negeri meningkat kepada purata 300 orang bagi setiap kawasan daripada 45 DUN di Kelantan.
Menerusi skim berkenaan, penerima memperoleh bantuan bulanan berupa barangan keperluan asas seperti beras seberat 10 kilogram, gula satu kilogram dan minyak masak satu kilogram atau barangan pengganti yang setara.
Nama Al-It’am diinspirasikan daripada firman Allah SWT dalam Surah Quraisy, ayat 3 hingga 4, yang mengingatkan umat Islam supaya menyembah Allah yang memberi rezeki makanan dan keamanan daripada ketakutan.
Antara syarat kelayakan utama ialah pemohon mestilah warganegara Malaysia, bermastautin di Kelantan serta tergolong dalam kalangan isi rumah miskin atau kurang berkemampuan dengan pendapatan yang tidak mencukupi untuk menampung keperluan asas keluarga.
Keutamaan turut diberikan kepada golongan memerlukan, termasuk warga emas, ibu atau bapa tunggal, orang kurang upaya (OKU), individu yang tidak berupaya bekerja serta keluarga yang mempunyai tanggungan ramai.
Bagi memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak, maklumat pemohon disahkan oleh pihak berkuasa di peringkat jajahan atau komuniti, tertakluk kepada tapisan dan ketetapan semasa kerajaan negeri.
Berdasarkan rekod lima tahun terkini, jumlah penerima meningkat daripada 13,250 orang pada 2022 kepada 13,520 orang pada tahun 2023 sebelum mencapai 13,620 orang pada tahun 2024 dan dikekalkan sehingga tahun 2026.
Dari segi peruntukan, kerajaan negeri membelanjakan RM6.66 juta pada 2022 dan RM6.61 juta pada tahun 2023, manakala peruntukan bagi tahun 2024 melebihi RM8 juta.
Pada tahun 2025, sebanyak RM7.6 juta diperuntukkan sebelum meningkat kepada RM7.7 juta pada tahun ini bagi mengekalkan pelaksanaan skim yang memberi manfaat kepada ribuan keluarga setiap bulan.








