Lima teras pembangunan indikator kejayaan Desa Taqwa – TMB Kelantan
-
01 November 2026
-
Oleh: Syamimi Manah
-
34
KOTA DARULNAIM, 1 November – Kerajaan Negeri Kelantan menetapkan lima teras pembangunan sebagai indikator utama bagi menilai keberkesanan pelaksanaan program pemerkasaan Desa Taqwa yang meliputi aspek agama, sosial, pendidikan, ekonomi dan prasarana.
Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kelima-lima teras berkenaan menjadi asas pemantauan bagi memastikan pembangunan komuniti setempat dapat dilaksanakan secara menyeluruh mengikut keperluan masing-masing.
Menurutnya, bagi teras agama, penilaian dibuat berdasarkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti masjid, pelaksanaan solat berjemaah, kuliah agama serta peningkatan penguasaan al-Quran khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Antara yang kita lihat dan sentiasa kaji dari semasa ke semasa ialah aktiviti-aktiviti di masjid, solat berjemaah sebagai contohnya, kuliah agama dan juga peningkatan penguasaan al-Quran, terutama dalam kalangan generasi muda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Tendong YB Rozi Muhamad pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Kelima Belas Tahun 2026, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, teras sosial pula memberi tumpuan kepada usaha mengenal pasti masalah sosial serta tahap kerjasama masyarakat dalam membangunkan komuniti setempat.
“Manakala teras sosial ini termasuk kita melihat dari sudut masalah-masalah sosial yang mungkin ada dan bagaimana cara kita memperbaikinya serta sejauh mana masyarakat itu sentiasa bekerjasama dalam masyarakat setempat,” ujarnya.
Bagi teras pendidikan, kerajaan negeri memberi perhatian kepada peningkatan pencapaian anak-anak serta penglibatan penduduk dalam memastikan pendidikan agama dan pendidikan semasa diberikan keutamaan.
Beliau berkata, semangat tanggungjawab bersama dalam masyarakat perlu dihidupkan semula seperti amalan masyarakat terdahulu yang mengambil berat terhadap pendidikan dan perkembangan anak-anak jiran.
“Kalau dulu jiran akan tahu anak jirannya berapa ramai, darjah berapa, nombor berapa dan kalau baca al-Quran, baca juzuk berapa. Masing-masing ambil tanggungjawab sendiri.
“Ini adalah antara elemen yang baik yang ada dalam masyarakat kita dulu-dulu yang kita cuba nak hidupkan kembali, insya-Allah,” jelasnya.
Sementara itu, teras ekonomi memberi perhatian kepada potensi setempat yang boleh dibangunkan dengan bantuan sewajarnya bagi memastikan aktiviti ekonomi penduduk dapat berkembang.
Tambahnya, bagi teras prasarana pula, kerajaan negeri memberi perhatian kepada penyediaan, penyelenggaraan dan penambahbaikan kemudahan asas mengikut kemampuan, selain menggalakkan penglibatan masyarakat dalam menjaga kemudahan tersebut.
“Prasarana begitu juga menyediakan, menyelenggarakan dan menambah baikkan kemudahan asas setakat mana kemampuan yang ada dan ia bukan hanya menjadi tanggungjawab kerajaan, tetapi juga menjadi tanggungjawab setempat,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli berkata, kerajaan negeri mengambil langkah mengaktifkan semula program Desa Taqwa yang diwujudkan sejak 1991 dengan memilih sepuluh kampung sebagai projek perintis pemerkasaan.
Katanya, daripada keseluruhan 101 Desa Taqwa yang diwujudkan, terdapat kampung yang masih aktif, kurang aktif dan berpotensi untuk diperkasakan semula mengikut keadaan semasa.
“Sebab itu kita melihat mana-mana yang kita rasanya berpotensi, maka kita ambil tanggungjawab untuk kita hidupkan kembali, kita segarkan kembali mengikut keadaan semasa,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa pelaksanaan pemerkasaan Desa Taqwa tidak bergantung sepenuhnya kepada peruntukan kerajaan negeri, sebaliknya dilaksanakan melalui kerjasama pelbagai agensi termasuk pejabat tanah dan agensi berkaitan.
Dalam pada itu, beliau berkata, penglibatan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) turut diberi perhatian dalam program-program kerajaan negeri bagi meningkatkan usaha pencegahan dadah di peringkat komuniti.
“Jadi kita nak minta sekali lagi supaya semua agensi-agensi Persekutuan, negeri bersama dengan kita. Kita boleh gunakan sama platform yang ada, termasuklah juga Desa Taqwa,” katanya.








