Accessibility Tools

Skip to main content

Lima pendekatan selaras pelaksanaan projek pembangunan negeri - MB Kelantan

  • 01 November 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 34

KOTA DARULNAIM, 1 November - Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud memaklumkan, Kerajaan Negeri Kelantan mengamalkan lima pendekatan utama dalam menyelaraskan pelaksanaan projek pembangunan bersama Kerajaan Persekutuan, khususnya dalam memastikan projek infrastruktur asas berjalan lancar dan memberi manfaat kepada rakyat.

Pendekatan berkenaan dilaksanakan melalui kerjasama dengan Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan (ICU JPM Kelantan).

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Gual Periok YB Kamaruzaman Mohamad pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15 Tahun 2026, hari ini.

Menurutnya lagi, pendekatan pertama melibatkan pengenalpastian dan permohonan projek di peringkat akar umbi menerusi Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) yang dipengerusikan Ketua Jajahan.

Seterusnya, penyelarasan pembangunan diteruskan melalui Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Negeri (JTPNG) dan Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNG) bagi memastikan pelaksanaan projek dipantau secara berterusan.

Pendekatan ketiga pula memberi tumpuan kepada pemantauan berkala projek berimpak tinggi, antaranya Lingkaran Tengah Utama (LTU), Jalan Kota Bharu–Kuala Krai (KBKK), projek bekalan air dan Madinah Ar-Riadah.

Selain itu, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) berperanan merancang serta menyenaraikan projek strategik bersama kementerian berkaitan untuk dikemukakan bagi pertimbangan di bawah Rancangan Malaysia (RMK).

“Selain itu, UPEN sentiasa memberi input kepada Kementerian Kewangan (MOF) menerusi siri Jelajah Belanjawan agar kepentingan Kelantan sentiasa diutamakan,” katanya.

Menjawab cadangan penambahbaikan, beliau bersetuju supaya penetapan tempoh penyelesaian isu projek diperkemas bersama agensi peneraju bagi mengelakkan kelewatan berpanjangan.

“Sekiranya isu tanah atau utiliti timbul, ia mesti dibawa ke peringkat keputusan dengan segera,” jelasnya.

Beliau juga memaklumkan, penyelarasan melalui pendekatan berkenaan turut memberi ruang kepada kerajaan negeri dan Persekutuan mengenal pasti halangan pelaksanaan projek serta mengambil tindakan susulan secara lebih tersusun.

Pautan berjaya disalin!