Accessibility Tools

Skip to main content

Sikap terbuka, semangat federalisme pacu projek pembangunan negeri - MB Kelantan

  • 01 November 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 34

KOTA DARULNAIM, 1 November - Amalan sikap terbuka, hubungan harmoni dan semangat federalisme antara Kerajaan Negeri Kelantan dengan Kerajaan Persekutuan terus menjadi asas penting sebagai pemacu kelancaran projek pembangunan di negeri ini sekali gus memenuhi kepentingan rakyat.

Demikian kenyataan Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud  ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Gual Periok YB Kamaruzaman Mohamad pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15 Tahun 2026, hari ini.

Menurutnya, kejayaan kerjasama tersebut perlu dinilai berdasarkan keupayaan menyiapkan projek mengikut jadual, memenuhi kualiti ditetapkan dan memberikan manfaat kepada seluruh rakyat.

“Ukuran kejayaan kerjasama ini ialah projek dapat disiapkan mengikut jadual, mematuhi mutu ditetapkan dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat,” katanya.

Beliau turut menghargai hubungan mesra yang terjalin antara Kerajaan Negeri dengan Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan (ICU JPM Kelantan) dalam menyelaras pelaksanaan projek pembangunan.

Bagi memastikan hubungan baik itu diterjemahkan kepada hasil yang nyata, kerajaan negeri memberi perhatian kepada usaha mengenal pasti dan menyelesaikan halangan projek secara bersama.

Antara perkara yang diberi penekanan termasuk penetapan agensi peneraju serta tempoh penyelesaian yang jelas bagi menangani isu teknikal seperti masalah tanah, pengalihan utiliti dan reka bentuk.

“Perkara seperti masalah tanah, pengalihan utiliti mahupun reka bentuk perlu dikenal pasti lebih awal,” jelasnya.

Kerjasama tersebut turut diperkukuh menerusi platform Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD), Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Negeri (JTPNG) dan Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNG) bagi menyelaras serta memantau projek pembangunan.

Selain itu, penglibatan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dalam Program Jelajah Belanjawan anjuran Kementerian Kewangan (MOF) membolehkan input pembangunan negeri disalurkan untuk pertimbangan di peringkat Persekutuan.

“Inilah semangat federalisme yang perlu kita teruskan dan kita suburkan,” tegasnya.

Pautan berjaya disalin!