Accessibility Tools

Skip to main content

Kelebihan berselawat, satu ucapan dibalas sepuluh ganjaran – MB Kelantan

  • 01 November 2026
  • Oleh: Asri Hamat | Kredit foto: Unit Media Menteri Besar
  • 34

KOTA BHARU, 1 November - Amalan berselawat kepada Nabi Muhammad SAW mempunyai kelebihan besar apabila setiap satu selawat yang diucapkan umat Islam dibalas oleh Allah SWT dengan sepuluh ganjaran.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang, Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata kelebihan itu dinyatakan menerusi hadis Rasulullah SAW:
مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً، صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا

 Maksudnya: Sesiapa berselawat kepada aku sekali, Allah SWT akan berselawat kepadanya sebanyak sepuluh kali.

Katanya, selawat daripada Allah SWT bermaksud limpahan rahmat kepada hamba-Nya, sekali gus menggambarkan besarnya ganjaran bagi mereka yang mengamalkan selawat.

"Kalau kita berselawat sekali, Allah SWT menurunkan rahmat kepada kita sepuluh kali. Cuba bayangkan kalau kita berselawat sepuluh kali, Allah turunkan rahmat kepada kita 100 kali."

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis Sebarkan Salam, Kota Bharu Berselawat yang turut dihadiri Perdana Menteri YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Dataran Muhammadi, Kota Bharu, malam tadi.

Katanya, program seperti ini amat dialu-alukan dan perlu mendapat sokongan daripada semua pihak.

Mengulas mengenai konsep menyebarkan salam, beliau berkata, perkataan salam membawa maksud selamat dan amalan itu mampu membentuk masyarakat yang hidup dalam suasana aman serta sejahtera.

"Apabila kita mengucapkan 'Assalamualaikum', ia membawa maksud orang di hadapan kita berada dalam keadaan selamat. Manakala orang yang mendengar salam itu wajib menjawab 'Waalaikumussalam', yang bermaksud kamu juga selamat.

"Jadi, selamat semua. Kalau kita memahami konsep salam ini, insya-Allah masyarakat kita akan hidup dalam keadaan selamat," katanya.

Beliau turut mengingatkan umat Islam supaya membalas ucapan salam dengan ucapan yang lebih baik.

Katanya, apabila seseorang mengucapkan 'Assalamualaikum', ia boleh dijawab dengan 'Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh' yang turut membawa maksud mendoakan keselamatan, rahmat dan keberkatan Allah SWT kepada orang yang memberi salam.

Beliau berharap amalan menyebarkan salam dapat terus diperkasakan bagi mewujudkan kehidupan bermasyarakat yang aman, selamat dan sejahtera.

Pautan berjaya disalin!