Tumpat NS juarai Kejohanan Bola Jaring Beliawanis Kelantan 2026 Parlimen Tumpat
-
01 November 2026
-
Oleh: Syamimi Manah | Kredit foto: Media YB Dato' Wan Roslan
-
30
TUMPAT, 1 November – Pasukan Tumpat NS menjuarai Kejohanan Bola Jaring Beliawanis Kelantan 2026 Parlimen Tumpat selepas menewaskan pasukan Blaze Striker dalam pertandingan yang berlangsung di SMU(A) Tarbiyah Islamiyah Chabang Empat, di sini, semalam.
Bagi keputusan pertandingan, Tumpat NS membawa pulang wang tunai RM600 berserta medal selepas dinobatkan sebagai johan, manakala Blaze Striker memperoleh tempat kedua dengan hadiah RM500 dan medal.
Net Busters menduduki tempat ketiga dengan hadiah RM400 dan medal, sementara Red Vixens di tempat keempat menerima wang tunai RM300 berserta medal.
Sehubungan dengan itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Pengkalan Kubor YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, penganjuran kejohanan di peringkat akar umbi penting bagi memberi peluang kepada golongan beliawanis mengembangkan potensi dan bakat dalam bidang sukan.
Menurutnya, usaha melahirkan atlet pelapis perlu diberi perhatian sebagai persediaan Kelantan menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2028 yang bakal berlangsung di negeri ini.
“Kelantan akan menjadi tuan rumah SUKMA 2028 dan kita perlu membuat persiapan untuk menyambut kehadiran atlet dari seluruh negara.
“Parlimen Tumpat juga akan menjadi tuan rumah bagi dua acara sukan iaitu pelayaran dan taekwondo,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan kejohanan berkenaan, semalam.
Dato’ Wan Roslan memaklumkan, pencapaian Kelantan pada SUKMA lalu yang berjaya memperoleh 14 pingat berbanding lapan pingat sebelum ini menjadi dorongan untuk meningkatkan prestasi atlet negeri.
“Semoga SUKMA 2028 di Kelantan nanti kita dapat mencapai keputusan yang lebih baik,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan memaklumkan Belanjawan Kelantan 2027 turut meluluskan peruntukan sebanyak RM3 juta bagi program pembangunan sukan negeri.
Sementara itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Wakaf Bharu YB Mohd Rusli Abdullah berkata, kejohanan seumpama itu memberi peluang kepada beliawanis mengembangkan bakat dalam sukan sekali gus menjadi ruang membina keyakinan diri dan mengeratkan hubungan sesama peserta.
“Semoga kejohanan seperti ini terus menjadi ruang untuk beliawanis mengembangkan bakat, membina keyakinan dan mengeratkan ukhuwah melalui sukan,” katanya.
Kejohanan anjuran Urus Setia Belia dan Sukan (UBeS) dengan kerjasama Persatuan Aspirasinita Kelantan itu turut dihadiri ADN Kelaboran YB Mohd Adanan Hassan serta wakil UBeS dan Persatuan Aspirasinita Kelantan.










