Accessibility Tools

Skip to main content

Darul Niswah perluas potensi Sulaman Kelingkan, Tenunan Songket ke pasaran global

  • 31 October 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 30

KOTA DARULNAIM, 31 Oktober – Projek Darul Niswah melalui Pusat Pembangunan Wanita Kelantan (PPWK) akan terus diperkasa bagi memperluaskan potensi seni warisan negeri, khususnya Sulaman Kelingkan dan Tenunan Songket ke pasaran lebih luas tanpa mengetepikan identiti Kelantan.

Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kerajaan YB Dato’ Rohani Ibrahim berkata, usaha berkenaan dilaksanakan menerusi kerjasama strategik serta pembangunan kemahiran wanita dalam bidang seni jahitan dan sulaman.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat khas pada Majlis Graduasi Darul Niswah (PPWK) Kali Ke-17 Tahun 2026 di Dewan Tok Guru Bentara Setia, Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.

Menurutnya, projek Darul Niswah berjaya mengembalikan sinar kepada kemahiran seni warisan Kelantan, termasuk Sulaman Kelingkan dan Tenunan Songket, selain memperkukuh bidang jahitan dan sulaman.

“Melalui projek Darul Niswah (PPWK) ini, kita berjaya mengembalikan sinar kepada kemahiran seni warisan Kelantan iaitu Sulaman Kelingkan dan Tenunan Songket selain daripada seni jahitan dan sulaman,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pusat Kemahiran Wanita Kelantan (PKWK), Malaysia Craft Council (MCC), Yayasan Hasanah, guru pengajar, pelatih dan semua pihak yang terlibat sehingga tertubuhnya bengkel The Textile Lab yang pertama seumpamanya di Kelantan.

Dato’ Rohani berharap penubuhan bengkel berkenaan menjadi batu loncatan kepada kejayaan lebih besar dalam usaha mengangkat seni tekstil warisan negeri.

“Insya-Allah, kita amat serius untuk membawa Darul Niswah (PPWK) ini ke peringkat lebih global dan berdaya saing, tetapi tetap dengan identiti Kelantan,” jelasnya.

Sehubungan dengan itu, beliau yakin setiap PPWK berupaya menghasilkan produk berkualiti yang mampu menembusi pasaran lebih luas, sekali gus berpotensi menjadi pilihan pelancong dan pelawat yang berkunjung ke Kelantan.

Selain pembangunan produk, kerajaan negeri turut mengintai peluang kerjasama dengan pelbagai rakan strategik bagi memperluas pembangunan kemahiran, khususnya dalam kalangan wanita.

Di samping itu, beliau juga mengingatkan wanita yang berjaya dalam bidang keusahawanan supaya tidak mengabaikan peranan asas sebagai isteri dan ibu dalam membina kesejahteraan keluarga.

“Peranan asas inilah yang menjadi faktor utama kesejahteraan keluarga, masyarakat dan negara,” katanya.

Beliau berharap projek Darul Niswah terus berkembang dan memberi manfaat kepada lebih ramai rakyat Kelantan, selaras dengan visi Membangun Bersama Islam dan Kelantan Negeri Berkebajikan.

Pautan berjaya disalin!