334 graduan Darul Niswah terima pengiktirafan, buka peluang jana pendapatan
-
31 October 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
33
KOTA DARULNAIM, 31 Oktober – Seramai 334 graduan Pusat Pembangunan Wanita Kelantan (PPWK) menerima pengiktirafan pada Majlis Graduasi Darul Niswah (PPWK) Kali Ke-17 Tahun 2026, sekali gus membuka ruang kepada peserta memanfaatkan kemahiran yang dipelajari untuk menjana pendapatan serta membina kerjaya sendiri.
Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato’ Rohani Ibrahim berkata, kejayaan itu merupakan hasil kesungguhan graduan mengharungi pelbagai cabaran sepanjang mengikuti program kemahiran berkenaan.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat khas pada Majlis Graduasi Darul Niswah (PPWK) Kali Ke-17 Tahun 2026 di Dewan Tok Guru Bentara Setia, Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.
Menurutnya, setiap graduan mempunyai kisah perjuangan tersendiri, termasuk membahagikan masa antara pembelajaran dengan tanggungjawab menguruskan rumah tangga, anak-anak dan keluarga.
“Saya percaya, setiap graduan mempunyai kisah perjuangan tersendiri. Ada yang terpaksa membahagikan masa antara kelas dengan urusan rumah tangga, menguruskan anak-anak serta keluarga dan sebagainya,” katanya.
Beliau turut berharap graduan PPWK dapat mencontohi kejayaan alumni terdahulu yang berjaya membina kerjaya dan menjana pendapatan hasil kemahiran yang diperoleh.
“Jangan berhenti di sini, teruskan melangkah. Kejayaan hari ini, manfaatkanlah untuk menjana pendapatan diri dan keluarga yang lebih baik,” ujarnya.
Tambahnya, graduan yang memulakan usaha dengan kemudahan asas seperti sebuah mesin jahit atau mesin sulaman di rumah juga berpeluang mengembangkan perniagaan sehingga mampu menggaji pekerja pada masa hadapan.
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan graduan turut didukung oleh pengorbanan pasangan dan ahli keluarga yang memberikan sokongan sepanjang tempoh pembelajaran.
“Kasih sayang itulah mungkin menjadi ubat kepada segala penat lelah, air mata dan keringat serta bermacam ujian sepanjang tempoh pembelajaran,” katanya.
Dato' Rohani memaklumkan, program pembangunan kemahiran wanita yang dimulakan pada 2005 itu telah melalui pelbagai cabaran dan penambahbaikan sebelum berkembang sehingga ke tahap sekarang.
Beliau juga mengingatkan graduan supaya memastikan kemahiran yang diperoleh memberi manfaat kepada diri dan keluarga dan masyarakat setempat.










