Accessibility Tools

Skip to main content

Kelantan laksanakan lima inisiatif tarik belia tanam padi

  • 29 October 2026
  • Oleh: Asri Hamat
  • 42

KOTA DARULNAIM, 29 Oktober - Kerajaan Negeri Kelantan melaksanakan lima inisiatif bagi meningkatkan daya maju sektor penanaman padi, sekali gus menarik lebih ramai golongan belia menceburi bidang berkenaan.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato' Tuan Mohd Saripudin berkata, inisiatif itu merangkumi insentif pembangunan industri padi, latihan dan peningkatan kemahiran, pembangunan tanaman padi premium, pengurangan kos mekanisasi serta pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Katanya, menerusi program pembangunan industri padi, kerajaan negeri menyediakan insentif sebanyak RM15,000 sehektar dengan peruntukan tahunan berjumlah RM450,000.

"Insentif ini merangkumi kerja-kerja perataan tanah sawah, pembelian input pertanian, mekanisasi serta penyediaan peralatan padi.

"Selain itu, kerajaan negeri turut memberikan perhatian terhadap pembangunan infrastruktur ladang seperti sistem pengairan dan saliran, lintasan jentera serta jalan ladang bagi meningkatkan kecekapan operasi dan produktiviti penanaman padi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Bunga, YB Mohd Almidi Jaafar, pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15 Tahun 2026, hari ini.

YB Mohd Almidi meminta penjelasan mengenai inisiatif kerajaan negeri untuk menggalakkan golongan belia menceburi sektor pertanian, khususnya penanaman padi.

Kata YB "Dato'Mohd Saripudin lagi, kerajaan negeri turut memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan dan penguasaan teknologi pertanian melalui pelbagai program latihan serta peningkatan kemahiran yang dilaksanakan agensi berkaitan dan jabatan kerajaan.

Antara latihan disediakan ialah kursus asas penanaman padi, pengoperasian jentera pertanian, aktiviti pembajaan, kawalan serangga perosak serta penyediaan baja tanaman.

"Inisiatif ini bertujuan memberikan pendedahan kepada golongan belia terhadap penggunaan teknologi dan amalan pertanian moden yang mampu mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manual serta meningkatkan kecekapan pengurusan sawah," jelasnya.

Beliau juga memaklumkan, kerajaan negeri melalui anak syarikatnya, Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB), turut meneroka model perniagaan baharu berasaskan penanaman padi premium di kawasan tanah PTK seluas 33.34 ekar di Mukim Padang Raja, daerah Melor, Ketereh.

Projek berkenaan melibatkan penanaman varieti padi bernilai tinggi seperti padi wangi dan padi pulut menggunakan pendekatan penanaman secara alami tanpa penggunaan racun perosak.

Walau bagaimanapun, katanya, projek itu masih pada peringkat penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menilai kesesuaian penanaman, produktiviti serta potensi pulangan ekonomi.

Beliau turut menjelaskan,  KPKB sedang mengadakan rundingan dengan beberapa pembekal jentera pertanian bagi meneroka penyediaan perkhidmatan sewaan jentera pada kadar lebih berpatutan.

Tambahnya, inisiatif itu bertujuan membantu pesawah, termasuk golongan belia, mengurangkan kos operasi menerusi mekanisme bantuan atau subsidi sewaan jentera yang akan diperincikan berdasarkan kemampuan kewangan dan pertimbangan kerajaan negeri.

Bagi memperkukuh penyertaan belia dalam penanaman padi premium, KPKB turut merancang pelaksanaan kursus khusus berkaitan tanaman berkenaan, termasuk meneroka pendekatan TVET dalam bidang penanaman padi.

Pautan berjaya disalin!