Belanjawan Kelantan 2027 RM1.383 bilion, kebajikan rakyat diutamakan
-
29 October 2026
-
Oleh: Norzana Razaly
-
27
KOTA DARULNAIM, 29 Oktober – Kerajaan Negeri Kelantan membentangkan Belanjawan 2027 berjumlah RM1.383 bilion dengan mengutamakan kesejahteraan rakyat, pengukuhan perkhidmatan asas dan pembangunan ekonomi jangka panjang berteraskan prinsip amanah, keadilan serta keprihatinan sosial.
Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, daripada jumlah keseluruhan tersebut, sebanyak RM1.087 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus manakala RM296 juta disediakan untuk perbelanjaan pembangunan.
Menurutnya, belanjawan bertemakan Kelantan Prihatin: Penghayatan Membangun Bersama Islam itu dirangka bagi memastikan setiap peruntukan kerajaan memberikan manfaat kepada rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah, masyarakat luar bandar dan kumpulan rentan.
"Kelantan Prihatin membawa pengertian sebuah kerajaan yang peka terhadap keperluan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah, masyarakat luar bandar dan kumpulan rentan. Keprihatinan ini diterjemahkan melalui perlindungan sosial, bantuan kebajikan, peluang yang adil dan perkhidmatan kerajaan yang mudah didekati," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Kelantan 2027 pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15, di sini, hari ini.
Dato' Mohd Nassuruddin juga menegaskan, keprihatinan kerajaan tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah peruntukan semata-mata tetapi perlu diterjemahkan melalui keberkesanan pelaksanaan serta penyelesaian terhadap masalah rakyat.
"Pada tahun 2027, keutamaan kita ialah memastikan keprihatinan dapat diukur melalui hasil pelaksanaan, kemudahan yang berfungsi dan urusan yang diselesaikan. Inilah ukuran yang memberi makna kepada tema belanjawan ini," jelasnya.
Tambahnya, setiap keputusan perbelanjaan perlu mengambil kira kemampuan kewangan, tahap kesiapsiagaan projek dan keupayaan pelaksanaan supaya manfaat pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh.







