Empat teras Belanjawan Kelantan 2027 pacu pembangunan menyeluruh negeri
-
29 October 2026
-
Oleh: Irham Hilmi Hashim
-
31
KOTA DARULNAIM, 29 Oktober – Empat teras utama Belanjawan Negeri Kelantan 2027 menjadi kerangka pembangunan menyeluruh yang menggabungkan pemerkasaan agama, kesejahteraan sosial, pertumbuhan ekonomi dan kelestarian alam sekitar ke arah merealisasikan aspirasi Kelantan Sejahtera 2033.
Timbalan Menteri Besar YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata demikian menerusi kenyataan di media sosialnya hari ini ketika mengulas Belanjawan Negeri Kelantan 2027 bertemakan “Kelantan Prihatin: Penghayatan Membangun Bersama Islam” yang dibentangkan oleh Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud.
Menurut Dato' Dr. Mohamed Fadzli, empat teras berkenaan ialah Pemerkasaan Agama dan Pembangunan Modal Insan, Kesejahteraan Sosial dan Perlindungan Rakyat, Ekonomi Progresif dan Berdaya Tahan serta Kelestarian Alam Sekitar dan Keindahan Bandar.
“Pendekatan itu mencerminkan hala tuju pembangunan negeri yang bukan sahaja memberi perhatian kepada kemajuan ekonomi, malah turut menitikberatkan pembelaan rakyat, pengukuhan nilai Islam dan pemeliharaan alam sekitar,” ujarnya.
Menurutnya lagi, Belanjawan berjumlah RM1.383 bilion itu merangkumi RM1.087 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM296 juta untuk perbelanjaan pembangunan, dengan anggaran hasil negeri sebanyak RM1.082 bilion.
Perancangan berkenaan memperlihatkan usaha mengimbangi keperluan pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan awam dengan pelaburan pembangunan yang berpotensi memberikan manfaat jangka panjang kepada rakyat.
Tambahnya, kejayaan belanjawan perlu dinilai berdasarkan keberkesanan pelaksanaan, keteguhan tadbir urus dan manfaat yang benar-benar dirasai rakyat.
Beliau berharap Belanjawan Kelantan 2027 dapat menjadi pemangkin kepada pembentukan negeri yang makmur dan sejahtera berteraskan aspirasi 'Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur' selaras dengan matlamat Kelantan Sejahtera 2033.








