Accessibility Tools

Skip to main content

MB Kelantan petik hadis Rasulullah SAW, ingatkan kepentingan memelihara tanah

  • 29 October 2026
  • Oleh: Asri Hamat
  • 99

KOTA DARULNAIM, 29 Oktober – Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud memetik hadis Rasulullah SAW yang mengingatkan umat Islam supaya memelihara harta tanah dan tidak menjualnya tanpa menggunakan hasil jualan untuk memperoleh harta lain yang seumpamanya.

Beliau berkata, peringatan Rasulullah SAW itu menjadi pedoman penting dalam usaha Kerajaan Negeri Kelantan memastikan tanah rizab Melayu terus terpelihara dan tidak terhakis akibat urus niaga atau pembangunan yang mengabaikan kepentingan pemilikan masyarakat Melayu.

Menurutnya, Rasulullah SAW bersabda sebagaimana diriwayatkan oleh Ibn Majah dan Ahmad:

مَنْ بَاعَ دَارًا أَوْ عَقَارًا فَلَمْ يَجْعَلْ ثَمَنَهُ فِي مِثْلِهِ كَانَ قَمِنًا أَنْ لاَ يُبَارَكَ فِيهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang menjual rumah atau harta tanah, kemudian tidak menggunakan hasil jualannya untuk mendapatkan harta yang seumpamanya, maka dikhuatiri hasil tersebut tidak diberkati.”

“Penjualan tanah bukan bermaksud tidak dibenarkan sama sekali, sebaliknya urusan berkenaan perlu dikawal dan dibawa kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) untuk diteliti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Pantai Irama YB Mohd Huzaimy Che Husin yang dijawab bersekali dengan soalan ADN Galas YB Dato' Mohd Syahbuddin Hashim pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Ke-15 Tahun 2026, hari ini.

Mengulas lanjut, Dato' Mohd Nassuruddin menegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa serius memastikan keutuhan tanah rizab Melayu dipertahankan menerusi empat pendekatan utama yang mengimbangi keperluan pembangunan hartanah dengan kepentingan pemilikan masyarakat Melayu.

Katanya, pendekatan pertama ialah memastikan setiap urusan pembangunan tanah rizab Melayu mematuhi Enakmen Rizab Melayu Kelantan 1930 termasuk peruntukan dan sekatan yang ditetapkan di bawah undang-undang berkenaan.

“Secara rasional, tujuan undang-undang rizab Melayu termasuk menyekat tanah kerajaan dalam kawasan rizab Melayu daripada dilupuskan kepada bukan Melayu serta menyekat urus niaga persendirian tanah rizab Melayu antara Melayu dan bukan Melayu,” jelasnya.

Pendekatan kedua pula memberi penekanan kepada usaha memastikan pembangunan hartanah tidak menyebabkan kepentingan pemilikan Melayu terhakis, sebaliknya memberikan nilai tambah kepada tanah yang dimiliki.

Lagi menurutnya, pemeliharaan tanah rizab Melayu tidak seharusnya dinilai berdasarkan keluasan semata-mata, tetapi turut mengambil kira keupayaan tanah berkenaan menjana manfaat ekonomi kepada pemiliknya.

Sementara itu, pendekatan ketiga melibatkan penelitian terhadap setiap urus niaga tanah rizab Melayu bagi memastikan pematuhan kepada kerangka perundangan yang berkuat kuasa.

Beliau menjelaskan bahawa Seksyen 9 Enakmen Rizab Melayu Kelantan 1930 turut memperuntukkan urusan gadaian kepada orang atau badan bukan Melayu tertentu yang disenaraikan dalam Jadual D, sebagaimana diperincikan melalui pekeliling rasmi Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Kelantan.

Tambahnya, peruntukan tersebut membuktikan bahawa urus niaga tanah rizab Melayu tertakluk kepada kawalan undang-undang dan tidak boleh dilaksanakan secara bebas.

Pendekatan keempat pula ialah menggalakkan pembangunan terancang yang berupaya meningkatkan nilai ekonomi dan daya maju tanah rizab Melayu supaya pemiliknya memperoleh manfaat jangka panjang.

Dato' Mohd Nassuruddin juga menegaskan bahawa pembangunan dan pemeliharaan tanah rizab Melayu tidak seharusnya dianggap sebagai dua kepentingan yang saling bertentangan.

Sebaliknya, kedua-dua aspek itu perlu dilaksanakan secara seimbang melalui pematuhan undang-undang, kawalan urus niaga dan pembangunan yang memberikan pulangan ekonomi kepada masyarakat Melayu.

Beliau menegaskan, kerajaan negeri akan terus memastikan tanah rizab Melayu bukan sahaja dipertahankan dari segi status pemilikan, malah dibangunkan secara berhemah supaya kekal sebagai aset bernilai untuk generasi akan datang.

Pautan berjaya disalin!