Accessibility Tools

Skip to main content

25 agensi digembleng tangani gejala sosial secara bersepadu - Dato’ Wan Roslan

  • 29 October 2026
  • Oleh: Irham Hilmi Hashim
  • 29

KOTA DARULNAIM, 29 Oktober – Kerajaan Negeri Kelantan menggembleng kerjasama 25 agensi di peringkat negeri dan Persekutuan menerusi Pelan Strategik Program Bersepadu Menangani Gejala Sosial bagi memastikan usaha pencegahan dan penanganan masalah sosial dilaksanakan secara tersusun serta berkesan.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, kerjasama itu dibentuk melalui sesi sumbang saran yang menetapkan lima teras utama sebagai panduan tindakan semua agensi terlibat.

Menurutnya, lima teras berkenaan merangkumi pencegahan, intervensi, penguatkuasaan, pemulihan dan pemerkasaan komuniti bagi memastikan pendekatan menangani gejala sosial dilaksanakan secara menyeluruh.

“Penyelarasan ini penting bagi mengelakkan pertindihan fungsi dan peranan antara agensi, selain mengoptimumkan penggunaan peruntukan kewangan supaya menepati keperluan kumpulan sasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Melor YB Wan Rohimi Wan Daud pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15 Tahun 2026, hari ini.

Bagi memastikan pelaksanaan berjalan mengikut perancangan, kerajaan negeri turut menyediakan garis panduan khusus kepada setiap agensi, termasuk keperluan melaporkan pencapaian berdasarkan perancangan program, pelaksanaan dan peruntukan bajet.

Sebagai contoh, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) melaksanakan program seperti Pengawasan Orang Kena Pengawasan (OKP), dengan pencapaian dinilai berdasarkan petunjuk prestasi utama (KPI) serta data perbandingan bagi mengukur keberkesanan intervensi.

Menurutnya lagi, pemantauan dilaksanakan secara berkala dan berterusan berdasarkan maklum balas serta data daripada agensi yang dipertanggungjawabkan, termasuk usaha mengurangkan jumlah kes dan mengawal kadar penagihan berulang.

Dalam pada itu, penglibatan institusi pendidikan, masjid dan komuniti setempat turut diperkukuh bagi membina sahsiah serta membentuk generasi muda yang berakhlak dan bertanggungjawab.

"Pendekatan di peringkat komuniti antaranya melalui Bahian Dakwah Halaqat Negeri Kelantan dalam program Membina Generasi Solat, manakala institusi pendidikan memberi penekanan kepada pembentukan peribadi murid melalui penghayatan nilai agama serta Dasar Pendidikan Rabbani.

“Agenda Penghayatan Membangun Bersama Islam (MBI) perlu terus dihayati bersama supaya nilai-nilai Islam dapat diterapkan dalam kehidupan masyarakat dan membantu mengurangkan masalah sosial dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Tambahnya, kerjasama bersepadu antara agensi kerajaan, institusi pendidikan, masjid, ibu bapa dan komuniti setempat menjadi antara pendekatan penting bagi memastikan usaha menangani gejala sosial dilaksanakan secara berterusan dan menyeluruh.

Pautan berjaya disalin!