91.58 peratus tanah di Kelantan berstatus rizab Melayu, babitkan 816,020 hak milik
-
29 October 2026
-
Oleh: Asri Hamat
-
31
KOTA DARULNAIM, 29 Oktober - Sebanyak 526,083.8 hektar tanah milik di Kelantan berstatus rizab Melayu sehingga Jun 2026, membabitkan 816,020 hak milik.
Menteri Besar Kelantran YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud berkata keluasan itu mewakili 91.58 peratus daripada keseluruhan 574,427.61 hektar tanah milik yang direkodkan di negeri berkenaan.
Katanya, pecahan keluasan tanah milik berstatus rizab Melayu mengikut jajahan menunjukkan Gua Musang merekodkan keluasan terbesar, iaitu 122,735.54 hektar, bersamaan 84.55 peratus daripada keseluruhan tanah milik di jajahan itu.
"Pasir Mas pula merekodkan keluasan 56,656.79 hektar, bersamaan 99.98 peratus, manakala Tanah Merah mencatatkan 56,246.13 hektar atau 99.9982 peratus."
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Galas YB Dato' Mohd Syahbuddin Hashim pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15 Tahun 2026, hari ini.
Bagi jajahan Kuala Krai pula, Dato' Mohd Nassuruddin menjelaskan bahawa keluasan tanah milik berstatus rizab Melayu adalah 53,473.85 hektar, bersamaan 68.73 peratus, manakala Kota Bharu merekodkan 40,510.49 hektar atau 99.97 peratus.
"Jajahan Jeli pula mencatatkan keluasan 37,240.60 hektar, bersamaan 99.93 peratus, diikuti jajahan kecil Lojing sebanyak 39,315.82 hektar atau 98.99 peratus," jelasnya.
Tambahnya, jajahan Pasir Puteh merekodkan keluasan 43,377.81 hektar, bersamaan 99.99 peratus, manakala Machang mencatatkan 28,376.83 hektar atau 96.18 peratus.
Di jajahan Tumpat pula keluasan tanah milik berstatus rizab Melayu adalah 21,607.96 hektar, bersamaan 99.99 peratus, manakala Bachok merekodkan 2,654.25 hektar atau 99.98 peratus.
Beliau menegaskan, berdasarkan angka berkenaan, tanah milik berstatus rizab Melayu merangkumi lebih 90 peratus daripada keseluruhan keluasan tanah milik yang direkodkan di Kelantan sehingga Jun 2026.







