Kelantan peruntuk RM1 juta setahun perkasa JAHEAIK, Mahkamah Syariah
-
29 October 2026
-
Oleh: Norzana Razaly
-
36
KOTA DARULNAIM, 29 Oktober – Kerajaan Negeri Kelantan memperuntukkan RM1 juta setiap tahun bagi memperkasa institusi agama dan Mahkamah Syariah, khususnya dalam aspek pembangunan kapasiti, kompetensi pegawai serta keperluan institusi sebagai persediaan pelaksanaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2026.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata, komitmen kewangan itu turut disokong melalui usaha memperkasa sumber manusia, menambah baik infrastruktur serta meningkatkan kecekapan penguatkuasaan, pendakwaan dan kehakiman syariah.
Menurutnya, pengukuhan peruntukan kewangan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) dilaksanakan secara berperingkat mengikut keperluan dan kemampuan kewangan kerajaan negeri.
“Kerajaan Negeri komited memperkukuh institusi agama dan Mahkamah Syariah melalui penyediaan peruntukan RM1 juta setiap tahun yang merangkumi pembangunan kapasiti, kompetensi serta keperluan institusi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Tawang, YB Harun Ismail pada Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15 Tahun 2026, hari ini.
YB Harun meminta penjelasan mengenai langkah kerajaan negeri memperkasa JAHEAIK dan Mahkamah Syariah dari aspek peruntukan, kakitangan serta infrastruktur bagi menghadapi pelaksanaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2026.
Mengulas lanjut, YB Mohd Asri berkata, kerajaan negeri telah bersetuju dengan pewujudan struktur Mahkamah Syariah empat peringkat bagi memantapkan sistem pentadbiran kehakiman syariah di Kelantan.
Katanya, Bahagian Undang-Undang (BAHUU) sedang menyediakan kertas cadangan penubuhan Jawatankuasa Induk bagi penggubalan Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah.
“Empat Mahkamah Tinggi Syariah telah diwartakan masing-masing di Pasir Mas, Tanah Merah, Machang dan Bachok.
“Fasiliti fizikal telah disiapkan, manakala pengisian perjawatan sedang dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan kelancaran operasi institusi kehakiman berkenaan,” jelasnya.
Dalam aspek pembangunan kompetensi, YB Mohd ASri memaklumkan bahawa hakim dan pegawai kehakiman syariah turut diberikan latihan berstruktur serta kursus kepakaran, khususnya berkaitan pengendalian kes jenayah syariah.
"Kerajaan negeri juga memberi perhatian terhadap keperluan menambah kakitangan dan kepakaran dalam bidang penguatkuasaan, pendakwaan serta kehakiman, di samping memperluas kerjasama strategik antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan," jelasnya.
Sementara itu, YB Mohd Asri turut mengucapkan tahniah kepada JAHEAIK atas kejayaan merangkul Johan Anugerah Inovasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi (AIICT) menerusi pembangunan Sistem Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah Kelantan (E-GAT).
Beliau mengiktiraf pencapaian tersebut mencerminkan usaha jabatan berkenaan melaksanakan transformasi digital bagi meningkatkan kecekapan pengurusan dan penguatkuasaan undang-undang syariah.
Tambahnya, usaha pemerkasaan institusi agama turut merangkumi peluasan program penerangan dan kefahaman mengenai Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam kepada penjawat awam serta masyarakat.
Program penerangan itu juga akan diperluas melalui Pejabat Agama Jajahan di seluruh Kelantan bagi meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap peruntukan undang-undang keluarga Islam.







